Thursday, February 11, 2010

Saya 'Cikgu Ustazah'

"Assalamu'alaikum ustazah!". Harith ini rajin datang belajar mengaji. Celotehnya memeriahkan rumah saya

Dengan rasa penuh rendah diri, serba fakir dan dha'if, saya ini bukan ustazah. Apatah lagi 'protazah'. Saya terjun ke dunia perguruan bukan di dalam bidang agama. Kalau hendak dicermati ilmu agama saya, memang banyak yang 'mentah'. Baik dalam Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan ilmu yang seumpamanya.

Isunya sekarang, gelaran ustazah sudah sebati dengan diri saya. Walaupun saya tahu, dari segi bahasa, guru perempuan di dalam Bahasa Arab dipanggil ustazah. Namun, dari segi istilahnya di Malaysia, ia lebih khusus dituju kepada golongan tertentu berkelayakkan sahaja.

Gelaran ini bukan asing lagi sejak saya di alam persekolahan dan pekerjaan. Rata-rata mengandaikan saya ini adalah seorang ustazah. Adakalanya saya sendiri konfius dan lucu memikirkannya. Waima, tersipu malu juga bila mana siang dan malam disapa salam dengan gelaran itu. Senyuman saya meleret dilanjuti ketawa kecil. Mujur tidak sampai berdekah.

Kenapa dan mengapa?

Wallahu'alam dari sudut mana penilaian mereka. Saya kira, hanya yang arif menyapa itu ada jawapannya. Barangkali, ini gelaran usikan atau sindiran untuk saya. Boleh jadi juga, ini gelaran mulia yang menginsafkan saya. Paling tidak, ia dapat mendidik saya menjadi insan yang lebih baik.


Ustazah?

Jauh di sudut hati, tiada sekelumit rasa bagus dan 'poyo'. Saya belum 'kelabu mata' dan tenggelam dengan gelaran ini.
Apa jua gelaran itu dinilai orang, saya tidak berniat untuk mendapat gelaran itu. Tetapi pandangan sesiapa sahaja bila melihat suka sekali melabel.

Saya sekadar guru biasa. Dikhaskan mengajar anak-anak istimewa. Sejujurnya, saya belum ke tahap multy skill. Kalau hendak berdebat, berforum dalam hal agama, saya bukanlah ahli yang sesuai di dalamnya. Kalau hendak mencuba bakat, takut terpamer aib bodohnya saya.

Sungguh!


Pernah juga terlintas di hati kecil ini untuk memperkemaskan segala bentuk ilmu di dada. Seimbang syariatullah dan sunnatullah. Barulah terasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan ilmu dan gelaran. Itulah yang sepatutnya sebagai seorang da'ie. Setiap muslim adalah seorang da'ie. Seorang pendakwah. Perlu ada perasaan risau dan takut kerana tidak cukup.

Lewat hari ini, cikgu atau ustazah, kedua-duanya mengusik fikiran ini. Saya tidak mahu hilang peranan saya sebagai guru yang da'ie. Saya adalah agen yang paling dekat dalam membangunkan modal insan. Saya belum cukup gagah hanya sebagai 'cikgu ustazah'.

Sudah pasti, kefakiran ini boleh mencetuskan apa sahaja. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak mahu menambah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak sudi mencurah. Fakir yang punya ilmu tetapi tidak bijak mengarah. Penghujungnya, semakin gelap dan membakar diri.

Parah... parah~


3 comments:

mizaranun said...

Salam cikgu/ustazah...

Ehmm alhamdulillah dpt gelaran ustazah, org menilai dr segi luaran seperti cara berpakaian, selalu ustazah ni dia selalu pakai pakaian bertudung labuh n berjubah, kalo sape2 pakai mcm tu dorang akan panggil ustazah, laupon xsume ustazah pakai mcm tu.

emmm seeloknya semua muslimat pakai mcm tu barula org xkompius..hihihi

Ibnu Ali said...

Assalamualaikum

@ mizaranun,

Saya sokong pendapat anda. Masalah yang berlaku di Malaysia kerana suasana sekular ini sudah terlalu lama. Sehinggakan kita sendiri terbawa-bawa pendekatan tersebut secara tidak sedar.

Ada sesetengah pendakwah tak boleh terima langsung apa yang datang dari barat. Manakala sesetengah yang dicelup dengan celupan barat sangat susah mahu menerima pendekatan Islam. Walhal mereka tahun hikmah itu hak milik orang mukmin.

Kalau kita tengok kesannya pada budaya, bahasa kita. Aapatahlagi bila melayu itu sendiri diterjemah sebagai Islam dan Islam itu Melayu dari sudut perlembagaannya. Perlembagaan ini yang membentuk fikrah yang menjadikan orang melayu khususnya jumud (beku) dalam laras dakwah dan amal Islami.

Saya pernah mendengar orang melayu yang meluahkan perasaannya dengan mengatakan "malah yang membantu saya bukanlah dari bangsa Islam". Apabila Islam ini diterjemah kepada syu'ub (bangsa)atau qabilah (kelompok)maka sifatnya universalnya akan terhalang. Sebab itu setiap ayat yang diturunkan ada bayan(keterangan) dari Nabi SAW. Bahkan ada juga bayan itu dari Allah SWT.

@ Izzah Al Maliziah,

Ustazah/Ustaz dipanggil dengan "cikgu" biasa sahaja rasanya. Tetapi bila cikgu dipanggil Ustazah/Ustaz rasa meremang bulu roma pula ya? hehe

Kalau kita hadamkan buku Rasalah Ta'alim (terjemahannya pun dah ada di Malaysia) kita akan dapat rasa mukmin ini tiada beza. Yang berbeza hanya taqwa. Pakaian taqwa ini yang perlu dikejar. Malah diterangkan sifat Islam itu syumul dan hidup dalam jemaah Islam kita tiada rasa perbezaan seperti itu.

Malah dengan ukhuwwah yang tersimpul tidak membelit sempit sari defini yang lahir dari Islam itu sendiri. Jadi ianya aman dari segala lebel dan tohmahan.

Wallahua'alam

Izzah Al-Maliziyyah said...

To mizaranum... Alaikumsalam WBT. Betul tu. Pakaian dan akhlak islamik untuk semua. Bukan untuk ustaz dan ustazah sahaja~

To Ibnu Ali... Alaikumsalam WBT. Saya setuju dengan pandangan ustaz. Adakalanya, kerana pakaian juga, orang mudah tersasul berana enti.

Samada mereka menyindir atau jujur berbahasa, wallahu'alam. Pada saya, asal perkara yang baik didengar, ANA terima dengan hati terbuka~