Saturday, February 13, 2010

Tidak Seindah Idealis Dan Romantis

"Sedang kamu masih dapat mengharapkan daripada Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana." [an-Nisa': 104]

Ramai orang bersungut dengan persepsi yang agak stereotaip. Menjadi guru itu mudah. Apatah lagi guru Pendidikan Khas. Kerjanya enteng. Hanya mengajar tiga empat orang murid di dalam satu kelas. Tidak perlu menyemak buku yang menimbun. Tidak perlu menanda lembaran kerja berhelai-helai. Dapat pembantu murid, siap merangkap pembantu peribadi lagi. Murid pulang seawal tengahari, guru pun mula bergoyang kaki.

Perihal cuti pula. Lihat sahaja takwim guru. Cuti semester sudahlah berderet. Apatah lagi bila dicampur cuti-cuti sampingan. Ah, bukan main berlambak. Hari ini cuti lagi, sempena Perayaan Tahun Baru Cina. Malahan, ada sekolah yang mengambil cuti tambahan. Bermakna esok lusa, cuti mereka bakal sambung menyambung. Boleh jadi lanjut sampai seminggu lamanya.

Indah bukan? Siapa yang tidak cemburu bila melihat si guru dapat mengulit cuti. Murid bercuti, guru beria tumpang sekaki. Balik-balik, kerjanya cuti sahaja. Ia lazim dan biasa. Ini telahan berzaman semenjak saya belum bergelar guru. Betul! Tiada salah orang yang bersungut itu.

Secara rambangnya, komentar yang menjengkelkan dan pandangan prejudis anda tetap betul. Cuma harus memperhalusi lagi tanggapan itu. Biar betul hakikatnya. Bukan andaiannya. InsyaAllah, saya pasti anda tidak akan berat sebelah tentang dunia perguruan yang kami hayati ini.

Kenapa kerjaya ini habuannya cuti sahaja? Andai diberi pilihan sama ada cuti dan ganjaran lain, saya yakin jawapan dominannya. Tentu ramai guru di luar sana senang dengan hanya memilih cuti. Ini sahaja penawar yang paling aula. Ia ibarat air. Hanya air yang mampu memberi kelegaan setelah penat berlari. Namun, cuti yang banyak itu bukan semuanya milik guru.

PUDARNYA SERI IDEALIS DAN ROMANTIS

Dunia perguruan dan pendidikan tidaklah seidealistik dan seromantis yang anda fikirkan. Tuntasnya, ia tidaklah seindah yang disangka. Menjadi seorang guru bukanlah semudah A B C. Masalah dan tugasan sentiasa bertambah. Malah, menjadi semakin dalam dan mendalam. Silap-silap, anda mungkin akan menjerit sekuat hati. Barangkali seperti berada di dalam gaung. There is no turning point beb!

Menjadi pendidik ini, banyak lapisan rintangan yang perlu ditempuhi. Kalau silap dan culas sedikit menggalas amanah, tidak mustahil banyak dosa berbanding pahala. Setahun dua ini saya sedang menghayati permainan 'politik pejabat' kerjaya ini. Pelbagai watak telah saya temui. Baik mereka yang kukuh berjawatan dan tidak kurang yang 'sedang-sedang' sahaja.

Masing-masing hebat mengadun fakta dan auta. Barangkali mahu merebut APC tahunan. Paling tidak, cukup sekadar pujian 'orang dalam'. Moga saya bijak memilih yang dihormati untuk diteladani. Bukan yang ditakuti tetapi pura-pura disegani. Hehe... izinkan saya menekup mulut sekejap buat pengubat geli di hati. Siapa yang hendak gelak senada dengan saya, sila angkat jari anda tanda two thumbs up.

Kini, fasa hidup saya sebagai guru novis (baru) sudah berlalu. Tetapi saya masih merasai nikmat novis itu. Masih serba mentah. Sedang belajar menilai itu dan ini. Dalam teraba-raba sendiri, semangat dan inspirasi saya seakan 'biskut' kering yang dicelup air. Sekejap menjelma, sekejap menghilang. Tenggelam timbul ditelan rutin harian yang membosankan.

Saya sendiri tidak tahu, sampai bila saya mampu mempertahankan keghairahan atau passion kerjaya ini. Jauh di sudut hati, itu yang sering saya bimbangkan. Lebih dirisaukan, saya tidak pasti bilakah saya akan menjadi seorang guru 'murabbi'. Boleh mendekatkan diri anak muridnya dengan tuhan pencipta. Bukan menjadi seorang guru yang biasa-biasa sahaja. Wallahu'alam~

*** 1. Mohon kemaafan andai tulisan ini wujud kekhilafan yang melampau. Mungkin tulisan saya agak kurang sopan. Anda membaca, anda merasa!

*** 2. Orang yang pandai boleh berpura-pura bodoh. Awas pada orang yang bodoh. Jangan sekali-kali berpura-pura pandai.

*** 3. Saya suka CUTI. Barangkali CUTI juga menyukai saya.

2 comments:

Ibnu Ali said...

"Guru itu justeru, hartanya banyak! Ngasik ilmu aja kerjanya" -Ustaz Rahmat Abdullah, Mursyid Tarbiah PKS Indonesia

mizaranun said...

Salam cikgu....

Em betul ru ramai yg anggap mcm tu cikgu asyik cuti jer..

sebenarnya sepanjang waktu persekolahan guru banyak dibebani ngn mcm2 sama ada fizikal or emosi...so cuti tu selayaknya la untuk merefresh balik kekuatan fizikal or emosi tu untk menjalankan tugas..

p/s : ada juga semasa cuti pon guru tetap menjalankan tugasnya disekolah xcukup dr itu meyelesaikan tugas2 pengkeranian di rumah. Allahu'alam