Sunday, April 25, 2010

Hikayat Tun Dara Puteri Kayangan

Diam memekak menuli, membisu menyepi tiada bererti akan kalah mati

Arakian, tersebutlah sebuah kisah yang julung-julung diceritera, bahawasanya Tun Dara yang asal usulnya diketahui ramai, puteri kedua Tun Mansor Shah dari negeri seharum manis, Indera Kayangan, Paris.

Adapun juga ramai tiada ketahuan bahawasanya Tun Dara sedang dalam dilema untuk beberapa perkara yang dihajatinya berserta kaum keluarga, teman serapat. Betapa gundah gulana akan hati Tun Dara tiada terperi. Waktu belum habis dihitung, pantas memintas juga ia berlalu pergi...

Akhirnya, setelah sidang senat bermusyawarah, sayugia dikhabarkan buat bapak-bapak, kakek-kakek, tuan dan puan sekalian. Adapun tanpa mengira kembang kempis, gelap gebu, kecut kental, lurus rencong, jantan betina, celik buta, tuli cacat, tempang dengkot, bulan dacing dan tidak tertinggal barang seorang pun yang berlabuh ke mari.

Dengan penuh kerelaan, kebijaksanaan dan berhikmah, Tun Dara sedia menyatakan akan maksud perutusan dan hajat keberanian hati, jantung berserta limpa bagi menangguhkan keputusan yang mendesak dirinya.

Ya, setelah setuju sepakat, sebulat sesuara tanpa hasutan serasuah, nafsu serakah, dendam sekesumat, adanya akan sebab musabab kecil semata-mata. Begini sebabnya diyakini Tun Dara. Rupa-rupanya, terus-terusan lintasan wajah-wajah polos di atas sedikit sebanyak membuatkan batang tubuh Tun Dara tiada tergamak melangkah pergi.

Sunguh-sungguh Tun Dara pekenan mengalah. Lalu, Tun Dara lolos untuk segera merencanakan apa yang sulit dan rencam. Perutusan sejujur ini tiada ketinggalan menjadi pucuk pengetahuan akan restu redha bondanya di Kayangan sana.


Kuasa cinta apakah yang mereka pertaruhkan buat Tun Dara?

Hebat sekali. Bagaikan sakti! Hehehe...

Adapun juga kedapatan, Tun Dara tiada sempurna atau sebaik seperti yang orang lain ramalkan. Kelemahan ketara dalam diri Tun Dara ialah Tun Dara seorang yang mudah perasa. Sensitif. Sejujurnya, Tun Dara sedia mengakui tentang itu.

Waima, ia sekadar tindakkan atau kata-kata yang menyakitkan hati. Kata-kata yang berinspirasi atau apa sahaja yang mencuit geletek hatinya. InsyaAllah selagi diizinkan, ia akan sangat jelas dalam ingatan Tun Dara untuk dijadikan sebagai teladan dan sempadan.


Barangkali, dengan rasa sensitif ini, Tun Dara harap Tun Dara lebih mampu memahami jiwa wajah-wajah polos sebegitu. Dengan rasa sensitif ini, Tun Dara berharap juga akan lebih memahami tuntutan besar sebagai seorang muaddib. Bukan siapa-siapa untuk perkara yang tiada signifikannya.

Sekian, adanya dengan limpah rahmat, Tun Dara masih ampuh melara rasa~

Nota: Sementelah, Tun Dara getik akan wajah-wajah 'polos' seperti Tun Pura-Pura Menggula dan Tun Pura-pura Menyibuk yang hakikinya cukup hipokrit bermuka-muka. Harus waspada!

6 comments:

imannuha said...

assalamualaikum izzah!tak jadi pindah ke???

Izzah Al-Maliziyyah said...

Alaikumsalam WBT. Keputusan masih di 'kantung sementara'. InsyaAllah, peluang setahun dua kali yang ada akan saya fikirkan dengan lebih bijaksana~

Amirul Faiz Abd. Razak said...

Wah.. saya boleh membaca, tapi tiada faham jua..Hehehe. :)

Abgbent said...

Salamelekom, wbt adikku Izzah,

Waduh! tergaru-garu kepala pula menelaah ayat-ayat sebegini. Barangkali inilah yang dinamakan tatabahasa menyembunyi pelbagai maksud?

Tak apalah, abg pun bukannya pakar bahasa dan puisi. Lebih baik menelaah dan menengok-nengok paparannya sahaja walaupun realitinya tidak memahami maksud sebenarnya.

Janji adikku Izzah puas hati. :)

Izzah Al-Maliziyyah said...

To Amirul Faiz Abd. Razak.. Hehe cerita hikayat memang sukar untuk difahami.

Penulisnya pun terkial-kial semasa menulis. Terasa seperti di alam lain. Tapi seronok juga tambahkan pengalaman baru~


To Abgbent.. Alaikumsalam WBT. Hehe kalau kepala tergaru dan masih boleh senyum, kira okehlah tu.

Penulis pening. Pembaca pening. Mari kita sama-sama pening. Asalkan bahagia, aman dan damai~

mawar berduri said...

hai, selamat menjalankan tugas dengan cemerlang.