Wednesday, October 20, 2010

Cebisan-Cebisan Bahagia: Nazim vs Hafizan

"(sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima sobartum (keselamatan atasmu berkat kesabaranmu)" maka alangkah baiknya tempat kesudahannya itu." [ar-Ra'du: 24]

Semalam saya agak ralit di meja makan. Sedikit terlewat memasuki kelas pertama selepas sesi rehat. Mujurlah jarak dari kantin sekolah ke kelas tidaklah sejauh mana. Tapi berderap-derap juga kaki saya menghayun langkah. Seiring itu juga detak-detik hati menyesali lengahan tadi.

Lambat ke kelas memang besar risikonya. Macam-macam kompleksiti boleh berlaku. Pasti kelas bercempera dengan mainan dan gurauan anak-anak murid yang tidak ketahuan. Anak-anak rebung yang semakin hari, semakin berani membuat honar itu dan ini. Dan licik pula untuk meloloskan diri bila disoal siasat kesalahan mereka.

Apalah sangat dengan tiga kerat murid sahaja?

Benar. Bagi tahun ini juga, cuma dua kelas masalah pendengaran dibuka dengan setiap satunya hanya tiga orang murid. Bagi masa mendatang, proses penambahbaikan Pendidikan Khas di Malaysia akan berubah. Barangkali nisbah guru:murid akan menjadi lebih kecil sehingga mencapai 1:1.

Saya nantikan saat itu.

Sungguh. Bilangan nisbah yang ada sekarang ini pun sudah terasa gamat. Mereka mampu menandingi riuh-rendah belasan orang murid lain. Silap-silap yang tiada bersuara inilah lebih ganas memberantakkan segala dinding, lantai dan meja, kerusi kelas.

"Baik. Sekarang, balik ke tempat masing-masing." Tangan saya mengisyaratkan arahan ringkas. Seraya itu juga jeritan hati kecil saya turut bersuara dari dalam.

Langsir kelas teroleng-oleng. Kotak jemala saya mula bersarang soal. Entah perhitungan apa yang mereka lakukan tadi di sebalik sana. Terlihat kelibat tampang saya menuju ke daun pintu, terkocoh-kocoh mereka bergegas. Secepat kilat melarikan suasana sebelumnya.

Fikir saya sendirian, ini mesti ada yang tidak kena.

Saya hanya menantikan jawapan tanpa perlu bertanya. Dan seketika kemudian, aduan diterima daripada seorang murid. Nama pun budak-budak. Kalau tiada yang mengadu domba memang tidak sah. Mana-mana pun sama.

Saya mula berlakon.

Konon-konon mempercayai situasi yang dijelaskan.

Khali.

Apakah starategi terbaik yang perlu direncanakan? Saya harus berbuat sesuatu!

Sejenang kemudian, arahan diberikan. Kelompok meja sedia ada perlu bertukar wajah kedudukannya. Saya tidak mahu meja-meja yang bersusun rapat bertentangan seperti selalu.

Mereka akur mengalihkan meja masing-masing. Kini tiba giliran sekawan ini pula terpisat-pisat dengan permintaan saya. Lambat-lambat, mereka terpaksa menurut juga. Kebisingan tingkah-meningkah ke segenap ruang kelas. Bahkan, menyula-nyula terobos hingga ke andas telinga saya. Itu belum dicampur kira dentam-dentum yang lain. Pada situasi-situasi yang selalunya hanya beristighfar panjang.

Haruskah selepas ini, saya juga turut bersama mereka?

Ya. Menjalani pemeriksaan audiologi berkala. Menggunakan audiometer bagi mengesan tahap pendengaran. Siapa tahu jika keputusannya masih 'cantik', alhamdulillah. Andai sebaliknya, maka RM250 sebulan boleh sedia dikumpul untuk sepasang hearing aid yang canggih. Hehe...

Siap. Tiga buah meja sudah dijarakan seperti lagak suasana peperiksaan. Sebuah meja lagi, saya tarik dan rapatkan ke depan. Dikhaskan untuk tumpang-menumpang longgokan kamus, buku dan peralatan P&P yang lain.

Sengaja saya beragenda demikian. Mudah-mudahan lebih senang menyelia tampang tubuh yang suka benar berbuat onar. Dan lebih mudah mengawasi tindak-tanduk mereka bertiga. Terutamanya Nazrul. Tidak serik-serik dilarang. Didenda dan sebagainya. Malah, pantang benar saya melihat kreasi akalnya cuba mempengaruhi murid-murid yang lain.

Elok-elok ada yang tekun mahu belajar, bertumbuh tanduk merah pula di kepala.

***********************************

Kelas Khas BD1 kembali tenang apabila saya memberi arahan rutin. Mereka bangun serentak mengisyaratkan salam dan selamat pagi. Seterusnya doa belajar juga tidak dilupa. Beragah-agah doa diisyaratkan. Manakan tidak lupa mana yang dulu, mana yang kemudian. Kalau tidak disuruh, pasti tidak diamalkan doa sejemput itu.

Setelah berpuas hati, P&P diteruskan dengan suasana baru. Nampaknya agak formal untuk mereka. Pelik. Barangkali mereka mengandaikan saya mahu menjalankan ujian atau peperiksaan bertulis.

Tidak kisah apa andaian mereka. Asalkan susun atur begini lebih selesa dari keadaan biasa. Bagus! Jelas sekali segala pandangan. Boleh menjegil mata berdepan-depan. Boleh menyergah setentang mata. Boleh menangan setampar dua.

Baru hendak memanaskan enjin P&P, tiba-tiba ekor mata saya tertangkap pada perlakuan menghantar kertas nota dari meja kanan ke meja tengah. Dengan cara yang mencurigakan.

Fikir mereka, saya tidak sedar kerana sibuk menulis di papan putih.

Saya terus berlakon.

Membiarkan selama lima minit berlalu. Saya hanya mencuri pandang perlakuan ganjil dua orang anak murid ini. Sembunyi-sembunyi mereka bergilir-gilir mengisyaratkan sesuatu. Akhirnya, kertas yang menjadi perantaraan tersebut berjaya dirampas!

P&P tersekang.

Jeda seketika dek mengamati nota rampasan itu. Rasa kelakar sungguh. Senyuman saya berbunga sengeh. Ada rasa kagum bila melihat kesahajaan nota itu dilukis. Ya. Mereka belum hebat menghasilkan nota bertulis. Siapa tahu suatu hari nanti.

Nah, ini gambaran kronologi yang dilukis oleh mangsa. Beliau cuba untuk menyakinkan hal ini kepada rakan sekepalanya, Nazrul.

Nazim yang bersongkok telah dituduh cuba menumbuk Hafizan. Baru saya perasan gelagat tubuh masing-masing. Patutlah sedari tadi lagi Nazim seperti tidak tenteram emosi. Matanya mencerlang, menahan kegeraman. Masih lagi bergumpal dengan amarah dek rasa tidak puas hati. Hafizan pula berwajah keruh. Matanya berkaca-kaca menahan empangan air jernih.

Itulah, bukan mereka tidak tahu sikap Nazim yang selalu berangin satu badan. Sangat sensitif. Tetapi, 'abang songkok' itu juga yang gemar diusik dan diasap-asapkan. Berapilah dia. Sebagai gurunya, adakalanya saya sendiri cemas bila berdepan dengan baran Nazim yang sukar ditahan.

Namun begitu, Nazim tidak seagresif dan senakal berbanding yang lain. Cuma emosinya sahaja mudah berkocak kencang. Maklumlah, sedang dalam peralihan fasa akil baligh. Kawalan hormon badan belum stabil.

Sejak saya mengenali Nazim, semakin hari, semakin kurus melidi pula budaknya. Ketingginya pun sudah mengalahkan saya. Begitu juga raut kulit mukanya. Semakin ketara simptom-simptom perubahan fizikal dan fisiologikal seorang kanak-kanak lelaki menginjak alam remaja.

Baiklah. Dari hasil siasatan, nota ringkas itu menunjukkan gambar situasi Nazim mengacu ketulan penumbuknya. Alah, baru mengacu sahaja. Sebenarnya, mangsa belum sempat diapa-apakan lagi. Saya kira, ini kes ugutan. Tetapi kenapa wajah jawa Hafizan nampak kucam sekali?

Aduh!

Macam biasa, sudah berkali-kali saya menjumpai kronologi sebegini. Selalunya Nazim yang akan menunjukkan lukisan kronologinya. Berbagai situasi cerita menarik. Malah, saya pernah menjumpai lukisan mereka mengintai saya. Teruk dan agak lucu kronologinya.

Tidak senonoh betul!

Apa pun, bagi kes kali ini saya tidak mahu berkriminologi. Waktu begitu terhad hendak berbasa-basi mengadili siapa yang patut dipujuk dan siapa yang patut dihukum. Bukan masa yang sesuai untuk membetulkan hubungan yang tidak terlalu keruh. Sejam dua nanti jernihlah. Maka, adalah lebih baik menyelesaikan kes tersebut dengan cara meneruskan P&P yang tertangguh.

Minggu depan mereka akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Sedangkan, penguasaan dan pemahaman mereka masih lemah pada yang asas-asas. Walaupun hari ini bukan main beriaya-iya faham. Sudah-sudah esok terlupa semuanya.

Mana cikgunya tidak risau.

Dalam masa yang sama, redha berbelah bahagi.

Kronologi kes semalam berakhir dengan geli hati yang dibungkus pulang bersama. Selalunya inilah antara cebisan-cebisan bahagia saya sebagai guru khas. Melayan karenah mereka dalam apa jua keadaan. Adakalanya terpaksa menjadi hakim, peguam bela, dan juga saksi yang kompeten. Boleh juga menjadi pegawai polis yang bersedia di kaunter aduan. Dan selalunya lebih kepada teman sakatan dan gurauan.

Sejujurnya, memahami murid masalah pendengaran tidaklah sesukar mana. Tidak boleh mudah menyerah kalah membetulkan salah laku mereka. Saya perlu juga berlagak seperti mereka. Dalam masa yang sama, kena pura-pura berlakon menjadi guru yang 'pekak badak'. Buat tidak tahu bagi sesuatu perkara yang tiada kepentingan. Tidak usah direncamkan.

Kerjaya ini ada digniti tersendiri. Terima sahaja cebisan-cebisan bahagia itu. Hari ini Nazim vs Hafizan. Dan tidak mustahil esok lusa akan ada pertembungan regu lain pula. Inilah namanya lawan sejam dua, akhirnya tetap kawan sampai bila-bila. Tidak ke mana andai itu takdirnya~


Nota: Dulu, Nazrul sukar menerima Hafizan dalam komuniti mereka. Selalu saja diherdik dan dibuli. Tahun ini, Hafizan sudah diterima menjadi pengikut setia Nazrul. Sekutu yang semakin sebulu.

No comments: