Friday, October 15, 2010

Saat Menikmati Roti Dan Air

"Berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." [al-A'raf: 144]

Alhamdulillah. Malam ini tenang. Cuaca agak baik. Tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Nyaman dan sunyi. Tiada usikan angin ribut yang mendesau-desau. Kipas tetap dibuka perlahan. Sengaja saya biarkan libasan bilah-bilahnya berdesiran mengiringi alunan jiwa di kantung MP3.

Selalunya waktu malam begini paling bererti.
Lebih lapang dari siang yang sibuk mengerah. Lebih tenang dari siang yang leka melelahkan. Lebih lengang dari siang yang hingar-bingar membingitkan. Harap-harap malam ini akan merangkak perlahan menuju fajar subuh.

Lazimnya, setiap kali melangkah keluar dari rumah, saya memasang niat dan azam. Saya akan cuba untuk cepat-cepat kembali ke rumah. Bukan lagi lengah di jalanan. Bukan lagi asyik di persinggahan. Bukan lagi di mana-mana tanpa urusan dan keperluan.

Ya, sungguh nikmatnya bila sudah berada di dalam rumah. Sangat menyenangkan hati bila dapat melapangkan minda.

Namun malam ini,
jauh sekali untuk memikirkan hal belanjawan negara yang sudah dibentang. Sarat. Sejak petang tadi, terlalu banyak yang dicadang dan dibincangkan. Analisisnya berulang-ulang. Inilah hakikat belanjawan saban tahun. Bila ada yang ditambah, tentu ada yang dikurang.

Apa jua yang diputuskan, semoga kita beroleh kebaikkan dan dikurniakan keredhaan-Nya kepada kita.

Lega. Siaran TV dimatikan.

Ada bajet lain yang menerpa fikiran saya. Entah kenapa saya membayangkan jika saya hanya hidup untuk satu hari ini saja. Seolah-olah dilahirkan ke dunia seawal pagi tadi. InsyaAllah akan dimatikan di hujung malam ini. Ya, mati pada hari ini juga!

Buang tabiat?

Tidak.

Begitulah signifikannya gelap malam dan kematian. Malah, adalah lebih bijak jika dapat difikirkan selalu.

Bagaimana untuk saya berbahagi masa?

Mahu menikmati matahari dan bulan dengan sekelip mata?

Sungguh sekejap bukan?

Barangkali berbagai-bagai persepsi yang boleh diandaikan. Mungkin saya dan anda akan terfikir begini. Jika sehari yang diberi, kita hanya akan mengenal sehari itu sahaja. Tiada peluang untuk mengenali semalam dan hari esok. Tiada perjalanan panjang yang akan ditempuhi.

Maka tiadalah kita terpengaruh dengan cerah dan kelamnya masa lalu. Maka tiadalah juga kesempatan untuk kita membayangi mimpi indah dan buruk yang bakal menimpa pada masa mendatang.

Jika sekarang saya sedang menikmati roti bakar yang panas dan rangup, inilah lazatnya. Tiada lagi pengaruh roti kering dan keras semalam. Malah tiada pengaruh kelembutan dan standard roti akan datang.

Jika sekarang saya sedang meneguk air panas dan manis berkrim, inilah enaknya. Tiada pengaruh air keledak dan tawar semalam. Malah tiada pengaruh air segar dan berkhasiat akan datang.

Jika ia benar-benar terjadi untuk hari ini sahaja, anggaplah sekarang ini adalah peluangnya. Realiti untuk kita uruskan waktu dan ciptakan hari kita sebaik mungkin. Baik keseimbangan kesihatan, perkataan, perbuatan dan penghayatan juga.

Semata-mata hari ini sahaja, kita perlu curahkan segala perhatian dan usaha sesungguh mungkin. Semata-mata hari ini sahaja, kita perlu kerahkan segala kemampuan dengan apa daya yang kita miliki.

Demi hari dan saat sekarang. Inilah peluangnya. Saya perlu bersyukur dengan roti dan air yang sedang saya nikmati ini. Alhamdulillah, sedap. Jika anda di sini, mahu juga saya pelawa untuk mereguk rangup dan manisnya bersama. Hanya untuk hari ini sahaja kerana sekejap lagi saya akan dijemput 'pulang'.

Wallahu'alam, jika itu ketentuan-Nya~


Nota: Siang tadi saya terlelap saat-saat menanti bajet kerajaan. Sedar-sedar, saya teringatkan kupon dan Hari Usahawan Muda sekolah. Antara yang terlalu kedekut dan terlalu boros. Semuanya meriah berbelanja.

No comments: