Sunday, June 06, 2010

Tidak Mustahil

Gambar ehsan ILuvIslam.com; Misi kemanusiaan mesti diteruskan

Hari semalam, hari ini, khabar itu telah merusuh jiwa-jiwa kita. Barangkali, dalam rengusan marah yang meluap-luap, mahu sahaja mengepal-ngepal penumbuk. Emosi dan kesumat kita yang dulunya suam, kini kembali terasa panas. Kembali buncah bergelut...

Bukan kita tidak tahu, Israel tetap laknatullah. Inilah 'anak susuan' Amerika yang telah memalukan ibunya sendiri. Memalukan tamaduan manusia. Selagi didokong, dilindungi dan dimanjai sekutunya, sikap biadap Israel tidak akan pernah mengenal tempat.

Keangkuhan dan kebengisannya
bukan baru bermula semalam. Mengusir, menyeksa, merogol, mengebom, membunuh dan menyembelih sudah menjadi darah daging mereka. Patut sangat regim sejahat ini diheret dan diherdik di muka pengadilan dunia.

Sampai hatikah kita hanya dengan mengutuk dan mengecam sahaja?

Benar. Zaman ini bukan zaman retorik. Bukan lagi zaman berkata-berkata. Zaman ini zaman bekerja. Zaman ini zaman berjihad. Berkerja dan berjihad dengan tindakkan, praktikal juga amali dalam mengembalikan tanah watan milik Palestin yang dijarah Israel.

Kesungguhan ini juga bukan sekadar memerdekakan sekeping tanah. Tetapi kepentingan berjihad adalah untuk memandu kebangkitan umat Islam semula. Meninggikan syiar Islam di muka bumi Palestin itu yang amat kita dambakan.


Sungguh rakyat Palestin adalah saudara kita. Saudara seagama kita. Walau bukan saudara Satu Malaysia, kini sudah tiba masanya isu tanah suci mereka dijadikan sebahagian dari isu tempatan kita juga.

InsyaAllah, hanya dengan usaha, kerja keras dan perpaduan di kalangan muslimin seluruhnya, impian ini tidak mustahil. Tetapi harus disegerakan dan bukan bertangguh lagi.

Sebagai rakyat, kita mampu memboikot produk-produk tertentu. Produk yang bersepah gantiannya di pasaran. Sebagai pentadbir negara, pembatalan kontrak APCO Worldwide juga sudah melebihi kemampuan segala...

Atau kita masih mahu kekal dengan ego yang sedia ada? Maka ini bermakna dengan sengaja kita tergamak dan berbangga membantu 'talibarut' Israel. 'Talibarut' yang menjadi sekongkol kepada musuh Allah. Anda sanggup? Na'uzubillah!

Nah, apa lagi ditunggu-tunggu.

Boikot! Batal!

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!~

Nota:
1. Membaca Israel sebagai Israhell dan Yahudi sebagai Yahudie.

2. Sungguh kita semua akan mati. Beruntunglah kita yang berjuang dan gugur syahid di jalan-Nya.

Friday, May 28, 2010

Ambil Iktibar

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." [al-A'raf: 99]

Kerjaya guru sering dinilai sebagai kerja yang indah dan murni. Kerjaya 'laku keras' di zaman yang serba sukar mendapatkan pekerjaan tetap. Kerjaya rebutan bagi mereka yang sedang merisik calon isteri dan menantu. Sebut sahaja kerja guru, "Wah, jadi cikgu. Mulianya!"...

Sepanjang terjebak dengan dunia ini, saya pernah menerjah soalan santai kepada anak-anak bermasalah pembelajaran. Soalan tentang kerjaya pilihan yang ingin mereka ceburi ketika dewasa nanti. Sungguh pun mereka begitu, rata-rata berkeyakinan menyatakan hasrat hati.

"Saya nak jadi cikgu macam cikgu" cepat kilat menjawab. Tapi ada silu-silu tersengeh malu.

"Saya nak jadi cikdu. Nak pepandai" pelat dan selamba pula air mukanya.

Wahai anak-anak comel yang luhur hati, dunia perguruan ini indah dan mulianya cuma di mata. Tapi sangat jenuh. Hanya seorang guru yang mengerti dunia wayang seorang guru. Hanya seorang guru yang merasai gelombang sebenar seorang guru.

Apa yang cikgu tahu, hidup kami tidak ubah seperti sebatang lilin. Asyik membakar diri sehingga tidak sedar sedang memalapkan dirinya sendiri. Jangan kamu terpedaya akan kehebatan guru yang tidak lebih dari rutin hariannya.

Terlalu mulia untuk kamu ketahui bahawa...

Guru suka marah dan menengking. Guru suka melepak, mengomel dan menceloteh tentang itu dan ini. Guru suka menjadi penjuak terhormat. Guru suka mengkritik dan mengeji tentang keburukkan orang lain. Guru suka bersenda gurau hingga terbuka aib sendiri.

Menjengkelkan bukan? Malah, guru suka menyibuk dan meletihkan diri dengan political corectness. Yang syoknya, guru tidak pernah sunyi kedepang-kedepong cepoh bersyarah tentang bla-bla-bla...

Ia lazim dan biasa.

Entahlah, barangkali ini tanggapan naif saya yang masih 'hingusan' sebagai guru. Tapi, i'm not proud and snob melihat guru itu sendiri yang merendahkan kemuliaan dunianya. Lebih dari itu, saya menilai tidak merasa ada apa-apa nikmat yang boleh dibanggakan. Sungguh malang dan kasihan. Demikian jahatnya hati saya berbisik.

Namun, tidak semua guru begitu.

Di celah-celah golongan sebegini, masih ada yang bagus-bagus untuk diteladani.

Semua orang tahu, menyampaikan ilmu adalah tugas hakiki pendidik. Sepanjang tugas itu, guru juga harus belajar mendidik diri. Guru juga patut belajar mengasuh diri. Mulia seorang guru bukan sekadar mencurahkan ilmu. Tapi menguasai dan mengamalkan ilmu untuk sinergi diri sendiri. Kerana dosa dan pahala begitu sinonim dengan kehidupan seorang guru.

Inilah peluang kita.
Anak-anak bermasalah pendengaran (pekak/bisu) ini penuh ekspresif dan agresif mengiringi perjuangan kecil saya

Syukur sekali. Ada mereka yang selalu menjadi batu asah kepada kesabaran saya. Ada mereka yang memberi inspirasi untuk cikgu sebiasa ini. Ada mereka yang menyemai rasa kasih dan sayang saya pada kerjaya ini. Ada mereka yang punya kelebihan mengingatkan kelalaian saya.

Terima kasih kerana dengan 'halus' kalian menyedarkan cikgu akan erti hidup yang perlu dijalani dengan bersungguh-sungguh dan benar. Cikgu tahu, jika tidak melakukannya dengan betul, pasti suatu hari nanti cikgu kamu ini akan menyesalinya.

Barangkali, tulisan 'halal' yang sesekali berjeda di blog saya ini akan dianggap sinikal lagi. Saya bukan minta kalian mengangguk atau menggeleng kepala. Soalnya, kita telah terbiasa dan sebati dengan hal ini sedemikian lama. Kata orang, sudah jadi 'perangai'.

Ambil iktibar ya wahai cikgu-cikgu dan bakal cikgu. Anda hanyut dalam resam sendiri tetapi anda tidak perasan. Saya juga. Apakah kita tidak mahu sama-sama membetulkannya?~

Nota: Selamat Penganti Baru kepada cikgu Azwani dan cikgu Adila yang sedang menanti 'saat lafaz sakinah' dalam tempoh terdekat ini. Bertambah tinggilah kemuliaan kalian selepas status guru dan diangkat pula sebagai isteri. Tahniah!

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru, Cikgu!

"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur." [al-A'raf: 144]

Tanggal 16 Mei bersua lagi...

Selamat Hari Guru, cikgu!

Selamat Hari Guru, ustazah!

Terima kasih kepada kalian yang mengingati guru sebiasa ini.


Alhamdulillah, tahun kedua saya menyambutnya sebagai guru. Rasa terima kasih juga harus saya ucapkan kepada mereka yang pernah mendidik saya sehingga kini realis seorang guru.

Ya, guru semalam. Guru hari ini. InsyaAllah, guru hingga akhir nanti. Esok dan selamanya sebagai pejuang 'GTO'. Bukan Great Teacher Onizuka. Bukan juga Guru Terhebat Olan. Bukan dan bukan sama sekali.

Siapalah saya untuk berlagak menjadi cikgu Jepun, Eikichi Onizuka. Apatah lagi untuk berangan menjadi cikgu Jawa, Olan Bin Ngadiman. Walaupun saya menyukai watak cikgu-cikgu ini...

Saya tetap saya. Kami tetap kami. Geng cikgu yang sering dicemburui. Geng cikgu yang sememangnya berbakat serba-serbi. Geng cikgu yang mesra dan baik hati. Geng cikgu yang suka masak dan makan tak henti-henti (saya suka makan sahaja).

Kalau bukan kami, Great Teacher OKU, siapa lagi? Kalau bukan kami, Guru Terhebat OKU, siapa lagi? Ya, kamilah pejuang 'GTO' itu. Maafkan saya, andai pengakuan jujur ini berbaur 'masuk bakul dan terangkat sendiri'. Hehe...

Namun, saya akui segalanya masih misteri. Saya masih belajar menjiwai diri, kenapa dan mengapa diri ini terpilih sebagai guru. Terpilih untuk bersama insan-insan istimewa. Adakah kerana saya juga seorang yang istimewa?

Dek kerana persoalan dan alasan itulah, saya masih setia di sini.
Mencari dan terus mencari. Memberi semampu cara sendiri.

Sempena hari kebesaran guru ini, tahniah dan Selamat Hari Guru juga kepada kalian yang bergelar guru. Tekadkan semangat. Tabahkan hati. Perjuangan kita mendidik anak bangsa masih belum selesai. InsyaAllah, dengan terus berusaha, dengan selalu bersabar, sesiapa pun pasti bisa! Ganbatte kudasai~

Nota: Sempena acara pertukaran hadiah antara guru, tahun ini saya dapat hadiah baby comforter. Barangkali, rezeki anak-anak buah agaknya. Barangkali juga...

Saturday, May 08, 2010

Cikgu Humaira, Selamat Membaca...

Surah Al-Fatihah (Pembukaan) sebagai pembuka jalan menuju Allah

Membeli dan menerima sesuatu adalah dua perkara yang berbeza. Selalunya, kita membeli untuk melampiaskan hajat sendiri. Sebaliknya pula, kita menerima atas kehendak si pemberi.

Misalnya, buku. Anda pernah membeli dan menerima buku yang sama?

Barangkali anda pernah mengalaminya. Saya juga...

Sebenarnya, saya telah miliki buku di atas pada bulan Mac yang lalu. Miliki dengan wang saku sendiri. Bulan ini, buku yang sama juga telah saya miliki senaskah lagi. Dapat percuma atas nama gurauan. Fikir saya, terima kiriman kad. Rupa-rupanya buku. Wah, bertuahnya saya.
Alhamdulillah.

Benar. Rezeki itu Allah yang tentukan.
Bukan sia-sia, tetapi dengan ingatan 'halus'. Mengingatkan saya bahawa bukan semua orang dapat membeli dan menerima buku. Apatah lagi buku atau kitab yang mereka idam-idamkan. Malah, bukan semua orang yang miliki dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Cikgu Humaira, selamat membaca," nota ringkas penulis kepada saya.

Terima kasih kepada Tuan Abdul Shahiid Shafruddin yang sudi menghadiahkan saya karya sulungnya. Anda juga boleh berkongsi 'fadhilat dan khasiat' kandungan buku ini. Sila dapatkan informasi mengenai buku terbitan Pelima Media Sdn. Bhd. ini terus menerus di laman blog beliau~

Nota:
1. Kini buku saya bertambah lagi. Boleh saja dipinjamkan.

2. Kalau hendak jadikan hak milik peribadi, saya sedia membantu anda untuk urusan pembelian.


Friday, April 30, 2010

Greenpeace Untuk Semua

Hijau ada disebut-sebut sebagai warna penghias syurga. Rujuk surah al-Kahfi; ayat 31, al-Insan; ayat 21 dan surah ar-Rahman; ayat 76

Sejujurnya, hijau bukanlah warna yang paling saya gemari. Tiada dalam senarai utama. Seingat saya, jarang-jarang sekali saya berkerudung hijau. Entah mengapa, kekok benar untuk mengenakan warna ini. Bukan kerana hijau dilihat sebagai warna kontroversi. Cuma kurang serasi.

Namun, hijau tidak pernah terpinggir dari hidup saya. Warna hijau sejati ini masih dapat memikat hati saya tetapi tidak berlebihan sehingga taksub atau 'takdol' (mengidolakan).

Pada tahun ini, saya telah menata rias konsep meja guru sendiri. Walaupun simple, saya cukup selesa dengan tema greenpeace. Lunak ditatap dan menyegarkan. Pendek kata, bagus untuk kesihatan mata. Indahnya memberi ketenangan dan kedamaian di hati saya.

Lain orang, lain mata hatinya. Barangkali mereka mengagumi warna 'alam' ini, tetapi diam-diam, nikmatnya terpaksa dianaktirikan. Anggapan mereka, warna gerun seperti hijau boleh membejatkan majlis. Warna sinikal ini bisa membobrokkan pihak-pihak tertentu. Warna provokasi yang mudah menghantui kepala-kepala partisan.

Sikap paranoid ini secara automatisnya akan ulang memberi amaran "Jangan cari pasal dengan warna hijau!". "Kalau boleh elakkan warna hijau!"...

Telan liur juga mendengar orang yang takutkan warna. Pelik! Pelik!

Dari satu sisi, kelakar pun ada. Mujur tidak terbahak-bahak.

Itu acuan pemikiran konservatif mereka.

Bagi saya,
mengapa perlu menjadi 'korban' ikut-ikutan. Sedangkan warna ini tidak menyusahkan hidup sesiapa. Terlalu menyenangkan. Warna kurniaan Allah yang diangkat sebagai warna istimewa. Warna milik semua, penghuni alam juga penghuni syurga.

Kadangkala saya tersenyum sendiri mengenangkan golongan yang sengaja mengkarenahkan warna ini. Mereka sedar, tetapi tidak telus. Maka, adalah lebih baik abaikan sahaja. Semuanya perlu dikuis ke tepi sebelum pemikiran saya pula menjadi 'hijau berlumut'.

Maafkan saya andai artikel ini bersifat sarkastik di minda anda. Harap-harap tidak ada yang 'hijau muka' (puke) atau 'hijau muka' macam incredicble Hulk. Peace for all~


Nota:
1. Makan nasi lemak bersama kuih tepung pelita tanpa daun pisang dan daun pandan yang hijau tentu tidak harum menyentap.

2. Pandang langit biru yang cerah, tanpa bukit-bukau menghijau tentu kurang memukau.


Sunday, April 25, 2010

Hikayat Tun Dara Puteri Kayangan

Diam memekak menuli, membisu menyepi tiada bererti akan kalah mati

Arakian, tersebutlah sebuah kisah yang julung-julung diceritera, bahawasanya Tun Dara yang asal usulnya diketahui ramai, puteri kedua Tun Mansor Shah dari negeri seharum manis, Indera Kayangan, Paris.

Adapun juga ramai tiada ketahuan bahawasanya Tun Dara sedang dalam dilema untuk beberapa perkara yang dihajatinya berserta kaum keluarga, teman serapat. Betapa gundah gulana akan hati Tun Dara tiada terperi. Waktu belum habis dihitung, pantas memintas juga ia berlalu pergi...

Akhirnya, setelah sidang senat bermusyawarah, sayugia dikhabarkan buat bapak-bapak, kakek-kakek, tuan dan puan sekalian. Adapun tanpa mengira kembang kempis, gelap gebu, kecut kental, lurus rencong, jantan betina, celik buta, tuli cacat, tempang dengkot, bulan dacing dan tidak tertinggal barang seorang pun yang berlabuh ke mari.

Dengan penuh kerelaan, kebijaksanaan dan berhikmah, Tun Dara sedia menyatakan akan maksud perutusan dan hajat keberanian hati, jantung berserta limpa bagi menangguhkan keputusan yang mendesak dirinya.

Ya, setelah setuju sepakat, sebulat sesuara tanpa hasutan serasuah, nafsu serakah, dendam sekesumat, adanya akan sebab musabab kecil semata-mata. Begini sebabnya diyakini Tun Dara. Rupa-rupanya, terus-terusan lintasan wajah-wajah polos di atas sedikit sebanyak membuatkan batang tubuh Tun Dara tiada tergamak melangkah pergi.

Sunguh-sungguh Tun Dara pekenan mengalah. Lalu, Tun Dara lolos untuk segera merencanakan apa yang sulit dan rencam. Perutusan sejujur ini tiada ketinggalan menjadi pucuk pengetahuan akan restu redha bondanya di Kayangan sana.


Kuasa cinta apakah yang mereka pertaruhkan buat Tun Dara?

Hebat sekali. Bagaikan sakti! Hehehe...

Adapun juga kedapatan, Tun Dara tiada sempurna atau sebaik seperti yang orang lain ramalkan. Kelemahan ketara dalam diri Tun Dara ialah Tun Dara seorang yang mudah perasa. Sensitif. Sejujurnya, Tun Dara sedia mengakui tentang itu.

Waima, ia sekadar tindakkan atau kata-kata yang menyakitkan hati. Kata-kata yang berinspirasi atau apa sahaja yang mencuit geletek hatinya. InsyaAllah selagi diizinkan, ia akan sangat jelas dalam ingatan Tun Dara untuk dijadikan sebagai teladan dan sempadan.


Barangkali, dengan rasa sensitif ini, Tun Dara harap Tun Dara lebih mampu memahami jiwa wajah-wajah polos sebegitu. Dengan rasa sensitif ini, Tun Dara berharap juga akan lebih memahami tuntutan besar sebagai seorang muaddib. Bukan siapa-siapa untuk perkara yang tiada signifikannya.

Sekian, adanya dengan limpah rahmat, Tun Dara masih ampuh melara rasa~

Nota: Sementelah, Tun Dara getik akan wajah-wajah 'polos' seperti Tun Pura-Pura Menggula dan Tun Pura-pura Menyibuk yang hakikinya cukup hipokrit bermuka-muka. Harus waspada!