Showing posts with label singah-singah. Show all posts
Showing posts with label singah-singah. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB: Catatan Lewat Malam Tadi

Diriwayatkan dari Hassan bin Tsabit al-Anshari r.a, bahawa dia pernah meminta kesaksian Abu Hurairah : "Saya meminta kesaksian darimu dengan nama Allah, apakah kamu pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda, "Hai Hassan, lantunkan puisi untuk membela Rasulullah s.a.w dalam mengalahkan puisi orang-orang kafir. Ya Allah, dukunglah Hassan dengan Ruh al-Qudus". Abu Hurairah r.a menjawab, "Ya". [Hadith riwayat al-Bukhari: 453]

Sesekali
di Laman Beringin IB
bersantaian dipayungi langit Ilahi
sambil menikmati jerayawara para pemuisi
menelusuri ilmu, menyemarakkan kreativiti
Prof. Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Siti Zainon
Dr Anwar Ridhwan dan Mohd Khair Ngadiron

Sesekali
canggung didengari
trend artis masa kini
antara yang lebih dihayati
juadah puitis personaliti Ahmad Fedtri
istimewa air tangan rohani Mohd. Zawawi
juga alun cendera Sohaimi Mior Hassan, Epilog Cinta Dari Bromley


Nota:
1. Kecewa. Niat untuk ke Damansara dan HKL tidak berjaya. Akhirnya cuma melepaskan lelah di Tasik Titiwangsa.

2. Leweh. saya hampir kehilangan jam tangan di surau Istana Budaya.

3. Sederhana. Bertembung dengan pemilik CBR 3395.

4. Geli hati. Ternampak kelibat Ustaz Syafiq Zulakifli...

Saturday, April 03, 2010

Melampiaskan Hajat

Tahun ini langsung tidak mendapat tandatangan mana-mana penulis. Sempat berselisih bahu dan bertentang mata dengan Dr. MAZA sahaja

Hampir seminggu PBAKL 2010 berlalu. Ini bermakna, seminggu jugalah ruang legar PWTC lengang dari acara jual beli produk PBAKL 2010. Lengang dari 'sesak badak' keluar masuk pengunjung yang terliur dengan buku. Apatah lagi yang ternanti-nanti untuk bersua muka di hadapan 'kerusi penulis'.

Alhamdulillah, menjelang hari-hari terakhir pesta berpencak, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke sana. Berlegar-legar mencari parkir kereta sahaja sudah berjam lamanya. Sana-sini, langsung tidak memberi ruang.
Mati kutu juga dibuatnya...

Hendak bergerak di dalamnya pula bagaikan hilang selera. Kalau setakat kelancarannya macam siput tidak mengapa sangat. Lebih melampau kalau sampai ada aksi berlaga punggung. Belum lagi yang sengaja ‘tersenggol’ dada. Ya Allah, dalam hati hanya tuhan yang tahu. Rasanya, pasar malam jalan TAR pun tidak seganas itu!

Memandangkan kelam mata dan serabut kepala melayan situasi, tergocoh-gocoh saya menjalankan misi pencarian. Tidak ada istilah senggol-senggolan di mana-mana booth. Terutamanya yang ketat manusia. Ditambah pula apabila melintasi booth yang kecoh laungan berbalas-balas dengan pembesar suara. Sukar untuk saya hayati itu adalah pesta buku.

Pada booth yang tenang, aman dan damai, saya suka menyinggah dan berlengai di situ. Sekadar mencari ruang 'nafas' dan mengumpul tenaga. Sesambil 'ghalit' mengintai keghairahan warga pengunjung yang beraneka ragam, dapat juga berbasa-basi barang seminit dua.

Lega. Hajat sudah tertunai di tangan. Kali ini sekadar berpuas hati hanya dengan tiga buah buku juga sedikit cenderamata. Kalau turutkan hati, sememangnya belum puas melampiaskan hajat. Mahu sahaja merisik dan melamar lagi untuk dibawa pulang. Maklum sahajalah, hajat setahun sekali~

Friday, January 29, 2010

Hitam Manis, Pandang Tak Jemu

"Sesungguhnya Kami menciptakan manusia berada dalam susah payah." [al-Balad: 4]
Menghadapi hari-hari kerajinan unit-unit utama sekolah mengadakan mesyuarat dan gerakerja awal sudah menjadi kebiasaan kami. Lali benar untuk duduk berjam-jam dalam Bilik Gerakan. Pagi petang setia di sekolah. Pernah sekali, tugasan lanjut membawa ke malam.

Barangkali inilah fenomena bulan pertama. Bulan menerima dan menyusun tugas. Terima sebab tidak sampai hati menolak. Barangkali, inilah profesionalisme keguruan. Sudah siap terima, dikumpul dan disusun pula. Susun sebab belum sempat mengadap. Barangkali, mahu mendahulukan yang perlu. Semuanya barangkali!

Sabtu dan Ahad saya hadam sebaiknya. Saya kira, peluang beriadah di hujung minggu sebagai bonus besar. Paling tidak, hujung minggu memberi satu bentuk kesegaran baru. Sekurang-kurangnya, oksigen yang disedut ini dapat juga meneutralkan segala bentuk keserabutan sepanjang hari bekerja.

Orang kata, tidak sempurna hidup kalau tiada nikmat sibuk!
Pun begitu, hujung minggu berturut-turut ini saya 'bantutkan' masa bersantai di rumah. Saya mencuri kesempatan membawa keluarga keluar beriadah. Kami rehlah melewati kota dan mengamati alam yang terbentang luas. Biarkan segalanya mencicip keagungan ciptaan Allah SWT. Saya mahu mencari bahagia, berfikir dan mentadabburi ayat 191 dalam surah Ali-Imran.

Fikir saya, sepetang pun jadilah. Sudah 3 minggu mereka menjadi tetamu istimewa. Tetamu tidak elok diabaikan. Selagi termampu, tetamu punya hak dimuliakan. Mereka dan tugas harus dihadap sama adil.
Dua kali Sabtu lepas, saya cuma beridea untuk riadah di kawasan berhampiran tempat tinggal sahaja. Tidaklah hampir mana pun. Kurang lebih 45 minit juga perjalanan menuju ke Kuala Selangor. Apalah sangat masa sebanyak itu. Asal kualitinya dimanfaat bersama keluarga.
Sejujurnya, saya gemar menyinggah bukit di situ. Bukit yang mempunyai pelbagai tinggalan sejarah. Menarik! Bukit yang puncaknya dapat melepaskan sesaujana pandangan. Itulah Bukit Melawati. Cukup strategik kerana mengadap laut Selat Melaka, Sumatra, Indonesia.
Di atas sana, terdapat ratusan si hitam manis setia menanti kunjungan. Kemeriahan bukit yang pernah ditakluki Belanda itu tidak pernah surut. Barangkali inilah penangan 'si dia'. Sungguh pun hitam, tetapi manis dipandang.
Malah, penghuni tetap Bukit Melawati ini mesra pengunjung. Walau ada yang takut, hati masih terhibur.
Kaum kerabat lotong di atas Bukit Melawati memang sporting. Tetapi seb
agai pengunjung, kita perlu lebih bersikap sporting. Murahkan hati memberi makanan. Saya sudah biasa dengan gelagat mereka. Sampaikan ada dua tiga ekor yang melompat dan berpaut di bahu. Faham-faham sahajalah. Namanya pun binatang. Moga tidak ada yang serik dengan karenah dan haruman hapak si hitam manis itu.
Kalau anda melewati Kuala Selangor, jemputlah singgah berlibur. Bayaran tiket
train cuma serendah RM2 sahaja. Pada hemat saya, bayaran yang dikenakan ini sangat murah. Anda bukan sahaja dibawa bersua muka dengan si hitam manis, malah akan dibawa mengelilingi sekitar bukit juga. InsyaAllah, sekali datang akan tersemat seribu ingatan~

Geng lepak Bukit Melawati ini adalah sebahagian daripada ciptaan yang melata di muka bumi Allah SWT