Sunday, January 18, 2009

Special Teacher?

Senyumlah supaya alam turut tersenyum kepada kita...
Sekejap sahaja masa berlalu. Kini sudah dua minggu saya bergelar guru novis. Sudah dua minggu juga saya menjadi warga KKBP di SB ini. Saya masih lagi mencari ruang-ruang keserasian untuk menerima suasana dengan rutin hidup baru sebagai seorang murabbi.

Kalau diungkitkan kembali cita-cita ketika dibangku sekolah dulu, tentu saja hendak ketawa berdekah. Rasa macam terpalik sindiran pada diri sendiri. Apa tidaknya, saya tidak pernah meletakkan cita-cita menjadi guru sebagai profesion utama yang diidamkan. Tapi sekarang...

Aku guru kini, esok dan selamanya.

Baru bersantai-santai cuti dihujung minggu, esok akan bermula kembali rutin saya sebagai guru. Baju, buku, lesson plan, worksheet, hafalan kemahiran bahasa isyarat dan sarapan pagi esok sudah tersenarai dalam kepala. Tapi satu benda yang sinonim dan tidak pernah padam dalam kotak fikiran seorang guru sudah tentulah cuti. Minggu ini saya sangat termotivasi dek kerana cuti sempena Tahun Baru Cina sudah tidak berapa hari lagi. Rancangan untuk balik kampung tak sabar dinanti.

Oh Jumaat, cepatlah tiba!

Itulah realiti saya sebagai seorang murid suatu ketika dulu yang kini telah menjadi guru. Hati dan perasaan punya rasa yang sama. Cuti sentiasa berlegar di kepala. Hari sentiasa terhitung di jari. Senyum sendiri...
Lebih dari cuti semata-mata, karier guru dalam dunia pendidikan menjanjikan peluang bagi memberikan perkhidmatan dan menyumbang kepada perkembangan individu. Mendidik kanak-kanak memberi ganjaran, kepuasan peribadi dan keyakinan. Itu pun jika saya mampu menyampaikan ilmu sebagai orang yang terlatih dan mempunyai strategi yang teratur. Andai sebaliknya, sendiri mau ingat la kan. Semoga murid didikkan saya mampu menggunakan ilmu yang dipelajari dalam menghadapi cabaran baru dalam hidupnya.
Untuk pengetahuan pembaca, murid yang saya maksudkan adalah murid khas. Murid yang mengalami masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan. Mereka tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Saya adalah salah seorang daripada guru mereka, special teacher for special student. Sebagaimana pendidik lain, special teacher tetap menjadi guru dan masih lagi memegang gelaran pendidik. Cuma bezanya, kami hanya menangani murid-murid yang unik dan istimewa.

Menjadi guru pendidikan khas memang menyeronokkan walaupun pernah suatu ketika dulu timbul perasaan melecehkan. Malah pernah juga saya ketawa seakan memerli kakak sendiri yang juga guru pendidikan khas. Ceritanya tak pernah lekang di bibir. Ada saja yang dibawa pulang. Jika yang mendengar imannya tipis, sudah pasti akan memandang hina dan jijik pada mereka yang mungkin bakal menghuni syurga.

Rupanya, tidak kenal maka tak cinta, sudah kenal memang penuh dengan cabaran. Semoga saya dan rakan-rakan sealiran akan menghargai anak-anak ini sebagai rahmat Allah bagi menguji keimanan masing-masing. Betul, yang membezakan setiap orang adalah imannya.

Rasa macam cinta baru sahaja berputik. Ya Allah, kekalkanlah rasa ini...

Apabila berada dalam dunia pendidikan khas, misinya hanya satu iaitu membimbing mereka tanpa rasa menyesal untuk undur kebelakang. Itu hakikat dan realitinya. Bukan mimpi atau angan-angan lagi. Jauhilah bolak hati ini untuk berundur merindui kerjaya lama saya di pejabat berhawa dingin. Malam ini sebelum melelapkan mata, saya akan cuba memikirkan beberapa sebab mengapa saya menjadi special teacher? Adakah kerana minat, cabaran baru, hubungan sebelumnya, balik kampung, tiada pilihan, eskapisme, elaun atau ketentuan Ilahi?

Bukan semua orang sanggup terlibat dalam dunia pendidikan khas. Hanya guru istimewa dapat mendidik anak istimewa. Saya terfikirkan sepotong ayat ini yang boleh dikongsi dan direnungkan bersama, "apabila kita tidak mencari sesuatu, kita tidak akan menemui sesuatu..." ~

Friday, January 16, 2009

I'm not desperate

mf egypt : Akak.. kalau saya nak kenalkan akak dengan abang sepupu saya nak tak?
ihumaira : Untuk ape ya?
mf egypt : Saja ja..
mf egypt : Kawan-kawan
ihumaira : Kawan-kawan untuk apa ya?
mf egypt : Terpulang pada niat masing-masing...
------------------------------------------------------------------------------------------------
Dewasa ini saya hanya mampu tersenyum memikirkan akan kesungguhan mereka yang prihatin dengan status ini. Bukan main sibuk lagi mereka berusaha untuk mendapatkan saya calon yang sesuai.
Sehinggakan insiden siang tadi paling mengejutkan saya yang dalam keletihan setelah pulang dari sekolah. Kebetulan hari ini kesihatan dan mood saya agak terganggu.

Seharian menahan sakit.
Nawal muncul di muka pintu. Riak wajah dan tingkahnya seperti tergesa-gesa dan beria. Saya mengintai ke luar jendela. Kelibat seorang lelaki yang dimaksudkan Nawal nampak terpacak di depan rumah. Sementara yang lainnya pula sedang menanti di dalam kereta. Nawal... Nawal... ini rumah orang bujang Nawal. Boleh menimbulkan fitnah di mata sesiapa sahaja yang terlepas pandang.

Hilang akal dibuatnya.
Nawal Adibah adalah rakan sejawat saya di KKBP. Cikgu yang cantik dan manja orangnya walaupun sudah beranak sorang. Pelawaan Nawal untuk mengajak saya makan tengahari ditolak secepat kilat. Tidak semudah itu saya senang menerima pelawaan orang. Apatah lagi untuk duduk makan bersama-sama beberapa orang rakannya yang digelar ustaz j-Qaf. Tiada kompromi untuk ini...

Nawal berlalu setelah beberapa kali gagal memujuk saya bagi agenda pertamanya. Mungkin mereka kecewa. Biarlah...
Saya pula geram berbaur risau dan bingkas menutup pintu rumah.
MasyaAllah, mengapa sampai jadi begini? Desperate sangatkah saya ini yang bakal menginjak usia 29 tahun tetapi belum mendirikan rumah tangga?

Bulan ini sahaja banyak sangat dugaan yang tertanggung. Antara keinginan hati seorang ibu dan sedikit cadangan bernada desakkan daripada orang-orang terdekat membuatkan saya canggung dalam dilema. Adakah status 'anak dara' seperti saya ini telah menyusahkan semua orang? Saya hanya ada sekeping hati yang rapuh tak berdaya. Saya punya hak untuk kesediaan itu. Kesediaan menerima 'seseorang' dengan keikhlasan hati.

Ya Alah, i'm not desperate...

Berbalik kepada persoalan kahwin, saya berpandangan, sebagai seorang wanita yang sedang menghampiri usia lewat 20an, soal jodoh harus difikirkan. Umur yang sebegini, sudah dianggap sebagai usia yang sangat sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Namun, saya tidak menafikan, soal jodoh bukan perkara semudah kita melakar tarikh. Ia adalah ketentuan, qada' dan qadar Ilahi. Segalanya sudah tertulis sejak azali lagi.
Wahai sekalian yang kepeningan, jodoh saya ini usah terlalu dirisaukan. Tiba masanya, sudah pasti ia akan datang menjemput. Namun perlu juga saya membuka lorongnya supaya jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang oleh diri sendiri.
Pun begitu, bagi saya ini adalah usaha yang harus dipanjangkan untuk setiap inci kehidupan kita.
Betul juga kata orang, jodoh masing-masing tidak sama. Ia ibarat sebuah jambatan
untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanannya. Namun andainya jambatan itu pendek, barangkali cepat jodohnya. Ada orang cepat bertemu jodoh sebab jambatannya singkat. Wallahu'alam..


Sementara menanti saat hadirnya jodoh, saya lebih selesa menambahkan ilmu di dada daripada bercintan-cintun. Tanpa ilmu, sekalipun seseorang itu berkahwin diusia yang dianggap matang, kebahagiaan yang dicari tidak akan tercapai. Oleh itu, tidak timbul soal kahwin lambat atau kahwin awal. Tetapi apa yang lebih penting daripada itu ialah masing-masing telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Islam juga menyarankan agar mana-mana individu yang merasakan dia berkeupayaan, maka berkahwin adalah jalan yang terbaik. Sekiranya masih tidak mampu, Islam tidak menggalakkannya berkahwin walaupun usianya telah lanjut. Ini penting supaya 'mahligai' yang dibina itu tidak dibebani dengan pelbagai masalah atau seseorang itu mendatangkan masalah kepada pasangan mereka.

Dalam meniti usia ini, saya masih lagi memperbetulkan kesediaan dan keyakinan. Kesediaan dan keyakinan untuk menjadi seorang suri yang sabar.
Pada saya, salah satu senjata yang amat penting dalam menjamin kebahagiaan rumah tangga ialah sifat sabar. Sifat sabar akan membuatkan seseorang itu mampu bertindak secara rasional dan tidak terlalu mengikut hawa nafsu. Malah sifat sabar juga berupaya mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara satu sama lain.

Adakalanya, datang juga keyakinan diri untuk mendirikan rumah tangga secepat yang mungkin apabila melihat kawan-kawan dan keluarga terdekat saya berupaya menguruskan rumah tangga mereka. Mana mungkin saya ini berhati kering. Saya juga insan biasa yang ingin berkomitmen punya keluarga sendiri. Cuma mereka yang mengandaikan saya ini tidak bernafsu sahaja hanya menilai dari luaran. Menilai saya seorang yang terlalu memilih. Menilai saya itu dan ini...
Saya mohon maaf jika ada insan yang yang berkecil hati dengan entry kali ini. Saya tidak bermaksud untuk menyindir sesiapa. Dalam menentukan soal jodoh dengan siapa dan bila masanya, hidup ini perlu diteruskan seperti biasa. Saya bukan sengaja melengahkan perkara yang baik. Sebenarnya, memaksa diri untuk sesuatu yang belum rela ibarat menjerut leher sendiri ke tali gantung. Kelak nanti bukan sahaja akan menyusahkan hidup sendiri, malah orang lain juga.
Setiap hari ada sahaja persoalan yang sama. Naik tepu saya hendak menjawab. Em, rahsia di hati tiada siapa yang tahu. Biarlah Allah SWT sahaja yang mendengar rintihan hamba-nya. Rintihan saya yang mendamba cinta-Nya agar mengurniakan saya cinta yang lebih manis bila sampai tikanya diikat dengan sebuah pernikahan. InsyaAllah~

Monday, January 12, 2009

Kembalikan 'Izzah'


Sepanas cerita-cerita terkini 'pesta bunga api' dari Tebing Barat, sepanas itu hati-hati kita mendidih sedih. Ratahan demi ratahan bagai lauk
hidangan buat temasya besar-besaran puak Israel.
Sanggupkah kita tegar hanya dengan mendengar dan melihat dari jauh? Sampai bila?
Percayalah, umat akan terus-menerus dalam kehin
aan selagi tiada daulah Islam yang melindunginya. Marilah kita bersatu atas dasar ukhuwah Islam melakukan perubahan yang mendasar dan menyeluruh agar izzah kita kembali.
Wahai saudara-saudaraku... prihatin sangatkah kita melihat dan mendengar umat Islam kini tidak ubah seperti hidangan yang dikerumumuni oleh si kafir yang rakus dari pelbagai penjuru? Tapi sayang sekali, kita sebenarnya hanya 'saudara prihatin' yang gemar melihat dan mendengar sahaja.
Mengapa kita tidak dapat mempertahankan diri dan membela? Lemah sangatkah kita umat Nabi Muhammad SAW? Jawapannya hanya satu kerana kita adalah umat yang sengaja membiakkan virus 'Al-Wahn. Mencintai dunia dan membenci syahid.
Semoga Allah SWT membantu hamba-hamba-Nya yang berjuang dan memasukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang berjuang. Malah berkenan melimpahkan hidayah dan inayah-Nya~

Saturday, January 10, 2009

Kau masih di hati


Semalam saya telah bergegas ke Kajang untuk menyelesaikan dokumen tertangguh. Kebetulan tempat saya berurusan tidak jauh jaraknya ke UKM. Sepanjang perjalanan, saya teringat hajat yang sudah lama terbuku tak 'berjilid'. Usai sahaja urusan tersebut, dengan kesungguhan hati yang teruja, saya terus menuju ke UKM. Kaki saya yang keletihan nampaknya mula berpadu untuk sama-sama
menjayakan misi ziarah ini.
Dimana kan ku cari ganti, serupa denganmu... hati saya berlagu riang sambil meninjau pemandangan sekitar UKM. MasyaAllah, masih cantik dan sedamai dulu. Malah kelihatan anggun dengan cuaca dan pepohon menghijau. Inilah jalannya, inilah tempatnya, inilah lapangannya... ketika dewasa itu saya menagih ilmu dan membina jiwa di sini.
Saya tersenyum senang 'mengusik' jejak-jejak yang sudah lama ditinggalkan. Dalam kesuntukkan masa, saya sempat menziarah beberapa tempat. Kolej Dato' Onn menjadi sasaran utama. Rasa berbangga setelah kaki menjejak lantai di perkarangan parkir 'first in all'...

Usai sahaja solat berjemaah di masjid UKM, hati kembali sedih untuk meninggalkan jejak baru. Saya terpaksa mengakhiri ziarah yang singkat ini untuk segera ke KL. Namun dengan harapan yang besar, insyaAllah saya akan ke sana semula untuk 'misi akan datang'. Semuanya kerana kau masih di hati~
:: Sebahagian gambar-gambar yang sempat diambil ketika misi ziarah semalam ::

Tuesday, January 06, 2009

Hijrahku lagi


Salah satu pengertian hijrah adalah berpindah atau bergerak. Muslim selalu berubah (untuk lebih baik) dan bergerak, juga tidak stagnan. Begitulah resam manusia, sebagai abid di dunia yang fana ini kita ibarat musafir diperjalanan nan jauh. Bermula dari alam rahim ke alam dunia, kita seringkali akan berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat kerana itulah hakikat sebenar yang perlu kita sedari.
Sabtu lepas saya telah berpindah ke rumah baru di SB. Saya bertolak dari KP ke KL pada hari Rabu pukul 1.00 tengahari dengan ditemani bonda tercinta. Perjalanan kami sedikit sulit kerana hujan begitu lebat dari Penang hingga ke Tanjung Malim. Bonda tidak putus-putus mengingatkan saya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga walaupun agak lewat tiba di KL.
Kebetulan pada malam tersebut KL begitu sesak dengan banjiran warga kota yang berpusu-pusu untuk
menyambut tahun baru. Sempat la juga saya membawa bonda pusing-pusing menikmati view sekitar KL. Sebenarnya pusing-pusing yang tidak sengaja ini disebabkan kesilapan saya tersesat masuk Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak menuju KLCC. Terdetik juga rasa bersalah dan kasihan pada bonda di sebelah yang keletihan seharian menemani saya.

Dalam kebuntuan menemui jalan-jalan yang banyak ditutup, saya terus mengambil keputusan untuk ke tempat kerja lama saya di Kementerian Kesihatan Bangsar. Setelah menanti lebih kurang 15 minit, sahabat 'talian hayat' saya pun sampai untuk guide kami hingga ke Pangsapuri Melur, Sentul. Semeriah sambutan tahun baru, maka semeriah itu juga saya merayakan peniduran tahap dewa dewi kerana kepenatan. Tiada istilah menanti tahun baru, yang ada cuma misi hijrah yang satu...

Hari Khamis pula saya membawa bonda dan Mak Ngah ke Pustaka Mukmin Jalan Tunku Abdul Rahman. Rehat yang belum puas tidak menghalang saya untuk melangsaikan hajat mereka mendapatkan buku-buku agama. Seawal subuh keesokkannya pula saya bergegas ke Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor untuk menghadiri sesi taklimat penempatan guru KPLI 2009.
Bonda dan Mak Ngah khusyuk dalam 'pencarian jiwa'
Selesai taklimat, saya segera menuju ke Kelana Jaya untuk menjemput bonda dan Mak Ngah di rumah saudara. Ziarah kami membawa ke malam. Pagi esoknya pula, kami memulakan misi menjejak SB. Selesai memindahkan barang-barang dan berborak mesra dengan penghuni lama rumah baru, kami singgah di Tonggak 10 SB untuk menikmati makanan tengahari. Em, memang sedap masakkan nasi goreng kampung di gerai Daya Sari. Sepanjang perjalanan balik ke KL, bonda saya tak putus-putus memuji. Hari ini adalah hari ketiga saya merasai masakkan di situ.
Usai solat Asar, saya sekali lagi melangsaikan hajat bonda untuk menziarahi saudara di Taman Teknologi Kajang. Sambil bertukar cerita, Chu Ah dan kak Siti menghidangkan kami kuih karipap, samosa, buah limau dan nescafe. Lewat malamnya pula, kami mengakhiri misi menuju ke rumah sepupu, anak Mak Ngah saya di Sunway Semenyih. Lebih kurang pukul 2.30 pagi, saya dan bonda terbuai lena dalam keletihan bercampur baur...
Teko antik yang menarik perhatian saya ketika ziarah di rumah Chu Ah dan kak Siti

Bertepatan dengan bulan Muharam, saya membuka lembaran tahun ini dengan misi hijrah dari kampung ke SB. Setiap tahun, terasa diri ini seperti orang badwi. Em, jangan ada yang salah menyebut Badawi pula. Saya cuma orang Islam Malaysia yang hidupnya berpindah randah. Tapi kaum Badwi yang moden asparagus la kan. Kalau zaman Rasulullah SAW dulu naik unta di tengah padang pasir yang tiada kesesakkan. Tapi sekarang naik kereta ke tengah ke tepi jalan raya yang sinonim dengan jem. Ingatkan makan roti je dengan jem.
Hijrahku di Seri Utama SB
Zaman belajar dan awal-awal kerja, saya berkelana ke sana sini. Memang seronok bila berhijrah. Itu menunjukkan kita telah membuat satu perubahan dari satu titik ke satu titik baru yang lebih baik. Ada peningkatan kualiti hidup dan pengisian usia yang semakin bermakna. Yang tidak seronoknya, untuk menerima sesuatu penempatan baru, bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai kemungkinan dan kerisauan berlegar difikiran. Kerinduan pada tempat lama juga bagai merasuk jiwa. Agaknya sudah menjadi fitrah kita akan merindui sesuatu setelah hilang dari pandangan.
Saya merasakan ada hikmahnya apabila kita selalu berpindah atau berhijrah. Ini kerana, kita akan berfikir kemanakah kita selepas itu seterusnya berazam untuk berubah ke arah yang lebih baik lagi dari yang lama. Mungkin juga ada hikmah sebenarnya yang kita tidak tahu, bahkan hanyalah Allah sahaja mengetahui segalanya. Apa yang saya harap dan doakan semoga dengan perpindahan baru ini akan lebih bersungguh dalam menuntut dan menyampaikan ilmu serta mendapat kejayaan dan keselamatan dunia akhirat. Begitu juga sahabat-sahabiah semua...

Sunday, January 04, 2009

Berlabuhnya tirai semalam

Assalamu'alaikum WBT.

Rasanya sudah lama saya tidak menekan papan kekunci laptop. Hari-hari yang dilalui terus ditinggalkan. Sejak minggu lepas lagi saya tercungap-cungap keletihan untuk memastikan perancangan dan perjalanan urusan ambang 2009 berjalan dengan lancar. Berjaya atau sebaliknya, ia adalah sejarah yang tidak boleh dipinda.

Alhamdulillah, kekuatan hati masih tergagah...

Perjuangan hijrah diteruskan. Episod kehidupan hari ini semakin menuntut perubahan dan pengorbanan. Semoga segala urusan dipermudahkan Allah SWT. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi memberi semangat dan sokongan. Really appreacited u all.

Dalam kesibukkan ke hulu ke hilir, terfikir juga saya tentang MyHumairaKu. Ia juga amanah. Namun apakan daya, buat masa ini keutamaan perlu didahului. InsyaAllah senang-senang nanti saya akan giat menulis semula walau sebaris kata. Mohon permisi dulu... ~