Thursday, April 28, 2011

Siapa Saya?

"Kamu sentiasa menjadi alim selagi kamu menjadi pelajar;
maka apabila kamu merasa cukup (perasaan kaya ilmu) kamu telah menjadi jahil."

[Riwayat Al-Imam Ibn Abd Barri dan Abdul Ghassan; Riwayat Muslim]

Ada tika dan saatnya. Dari seberang meja, mata saya mengecil sambil tersenyum mengubat rasa sendiri. Senggang masa P&P, sengaja dibiarkan untuk duduk melepaskan lelah di kerusi. Kalau tidak pun, pasti akan bertenggek di mana-mana. Leka diisi dengan membaca dan menghayati kerja-kerja sendiri.

Entahlah. Akhir-akhir ini saya lebih banyak bersahaja di hadapan mereka. Berpsikologi dan membisu dingin. Tanda protes dan marah jika ada anak-anak yang lebih-lebih bertingkah-laku. Alhamdulillah, mereka semakin mudah memahami bahasa begini. Praktikal dan terkesan.

Bukankah yang bernama guru itu wibawanya persis seorang ibu?

Dan kini, sedar tidak sedar, hari berganti seperti berlari. Ya, saya masih lagi di sini. Menjadi seorang ibu guru yang kadang-kala bukan masuk dan hanya terpacak mengajar itu dan ini. Tetapi masuk dengan tidak mengajar.

Sungguh. Saya tidak mengajar. Sekadar mengambil sedikit waktu untuk duduk menyandar sebentar. Diam terpaku. Saya menatap wajah anak-anak yang kian membesar itu satu persatu.

Kami saling berpandangan.

Mereka tersengih dengan gelombang istifham sesama sendiri.

Saya suka kembalikan ingatan pada salah sebuah 'kitab wajib' saya. Sudah masuk tahun ketiga diusung dari kelas ke kelas. Bertukar tangan antara saya dan mereka. Diselak-selak ia hingga kusam dan robek.

Kulit luarnya sengaja saya selitkan sepotong peringatan. "...Remember that you are not just a teacher, but you play your role as khalifah of Allah." Sungguh mereka tidak fahami. Tetapi saya? Patutkah itu dijadikan hiasan buku semata?

Inilah antara sebabnya mengapa saya perlu duduk untuk bertafakur seketika. Di hadapan mereka, saya mahu melihat sejujur rasa. Dan kembali menyoal sedalam-dalam hati.

Apa sebenarnya tujuan seorang anak seperti mereka datang ke sekolah. Dan apa sebenarnya tujuan seorang pendidik di mana-mana?

Siapa saya dan apa tujuan saya?

"Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu atas segala kefakiran ilmuku kepada mereka dengan hanya mengharapkan keredhaan-Mu."

Percayalah kalian. Bukan sahaja doa namanya yang ditadah. Dirafak bersusun jari sepuluh. Terkadang Tuhan juga memakbulkan lintasan angan-angan hamba-Nya. Itu juga sebahagian dari doa-doa kita.

Setiap hari saya cuba mengumpul dan memaknakan rasa bahagia. Bahagia seorang pendidik yang biasa-biasa saja. Ya. Biarpun sekecil perubahan akhlak mereka. Biarpun sekecil perubahan sikap mereka. Dan biarpun sekecil kefahaman mereka dalam membezakan antara yang baik juga yang jelek.

Alhamdulillah. Sesuatu yang positif dapat dilihat apabila mereka beria-ria saling ingat mengingati. Betul membetulkan waima bagaimana mengisyaratkan bismillah, adab mengetuk pintu, memberi salam dan meminta izin. Apatah lagi membudayakan berterima kasih dan meminta maaf.

Malah, saya akan tersenyum puas meskipun tatkala dijemput mereka untuk masuk ke kelas. Pasti terkocoh-kocoh segala macam barang-barang saya habis dikutip dan dikemas. Bag buku dan botol air saya juga berebut-rebut mahu digalas.


Barangkali lebih dari itu yang tak mampu saya coretkan di sini.

Syukur atas kebahagian ini ya Allah. Semoga saya diberi keizzahan untuk terus istiqomah dalam bertimbang rasa. Dan semakin ikhlas mendidik jiwa mereka sebaik cara~

Nota: Selamat Hari Pekerja. Tengah berkira-kira kesempatan cuti umum dan cuti rehat khas. Urusan melabur di KLIBF 2011 pun sudah selesai. Minggu ini serasa mahu bergegas pulang ke kampung...

Saturday, April 23, 2011

Cabaran TDK 1000 Menara

"Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan." [al-Mulk: 15]

Hari ini saya terpanggil untuk mempromosikan sesuatu dikala musim buku sedang rancak berpesta. Semoga ia menimbulkan minat dan nyala rasa pencinta ilmu sekalian. InsyaAllah, sekaligus bermanfaat dan ada khairnya.

Ekoran melintasi status-status FB dan menyinggahi catatan baharu di blog 'Transisi Fikrah' Faridrashidi.Com, saya membuat keputusan. Dek kerana kesan keterujaan, lekas-lekas saya menyanggupinya.

Barangkali kerana istimewanya buku di mata saya. Lantas, saya nekad mencuba tawaran di entry ini. Siapa tahu, rezeki saya dapat buku free. Dengan senang hati, ia juga sebagai tanda sokongan saya sempena kelahiran Travelog air tangan Ustaz Farid Rashidi.

Setakat ini, saya belum berpeluang menghadap buku beliau. Apatah lagi menjamah hidangan tulisan sulungnya. Yang pasti, saya telah menghidu aroma sinopsis yang tersedia di weblognya.

Sejujurnya, sedikit sebanyak beberapa kerat itu sudah mula membangkitan selera rasa saya untuk turut menumpangi siri travelog beliau. Barangkali juga terkesan selepas membelek-belek sosok reka letak kulit TDK 1000 Menara tersebut. Natural dan sederhana. Kematangan grafiknya juga seiring dengan tajuk pilihan.

Ya. Mana-mana penulis tentu sama sahaja. Saya yakin, mereka mahu melihat kulit karya mereka memberi citra atau persepsi pertama terhadap kandungan penulisannya.

Tahniah Ustaz Farid dan tim produksi TDK 1000 Menara. Perit jerih berhalangan yang lalu akhirnya membuahkan hasil di depan mata. Memang ia jenuh dan kadangkala menyeksakan bukan? Namun, saya yakin di sebaliknya tetap terselit keseronokan, kemanisan dan keindahannya.

Saya mendoakan semoga karya sulung ini mendapat sambutan baik dengan corak jualan yang memberangsangkan. InsyaAllah, siapa tahu ia akan mencatatkan bestseller hingga ke tahap diulang cetak.

Teruskan menulis. Teruskan mewarnai bakat anda!

Buat teman-teman ziarah budiman, kalian dijemput untuk sama-sama memiliki dan membaca travelog ini.

Tajuk Buku: Travelog: Debu-Debu Kota 1000 Menara
Penulis: Farid Rashidi

Penerbit: http://www.faridrashidi.com
Tahun Terbitan: 2011

Harga: RM25.00
Ketebalan: 271 muka surat

Sinopsis & Tempahan: Maklumat lanjut di sini


2.

Sejauh manakah pengetahuan anda mengenai buku berbentuk Travelog?

Saya adalah salah seorang penggemar tulisan berbentuk travelog. Travelog adalah siri perjalanan atau pengembaraan. Ia dinaratifkan tidak hanya terikat kepada merentas sempadan negara semata.

Ya. Travelog itu luas maknanya. Asalkan ia dapat mencipta kenangan sendiri. Itupun sudah boleh diilhamkan ia menjadi episod catatan kembaraan hidup. Sungguhpun setakat ini tidak banyak yang saya hadami, tidak banyak yang saya miliki, namun intipati asas sesebuah penulisan travelog sudah saya maklumi.

Kebiasaannya, mana-mana tulisan travelog pasti tidak lepas lari dari lingkungan biografi atau catatan peribadi. Sebagaimana travelog senioroti yang diungguli Kisah Pelayaran Ibnu Batutah dan Hikayat Pengembaraan Munsyi Abdullah.


Namun selagi mana siri travelog itu tidak diakrabi, adalah mustahil untuk menyatakan kefahaman sebenar saya tentang isi-isi yang hendak dikongsi. Ini kerana catatan kembara yang ditulis oleh setiap penulis adalah tidak sama. Mereka mengalami pengalaman yang berbeza.

Lain padang, lain belalangnya.

Lain penulis, lain sudut pandangannya.

Lain travelog, lain kepuasan kembaraannya.

Apatah lagi penulisan berbentuk travelog. Seboleh mungkin setiap penulis akan cuba menawarkan suatu kelainan yang ingin dikongsi dengan khalayak. Apabila sebut ingin dikongsi, ini bermakna khalayak dibenarkan untuk memasuki hidup penulis secara tidak langsung.

Dan kebanyakkan dari penulisan kotemporari tempatan dibukukan untuk membawa khalayak berkongsi pengalaman sebenar. Bukan pengalaman rekaan sebagaimana alam khayalan penulisan novel.

Apa yang saya tahu, travelog diadun meliputi pelbagai posisi kehidupan. Baik dari segi latar bumi, budaya masyarakat tempatan, konflik, tragedi, isu atau permasalahan yang timbul sekitar pengembaraan.

Tulisan berbentuk travelog juga akan menjadi semenggah apabila penulis menyulami sub tajuk dengan menyelitkan informasi bersama fakta-fakta sejarah yang sarat maklumat. Bahkan, isi travelog yang baik tidak pernah sunyi untuk mengajak pembaca mentadabbur alam. Tentu lebih alami dan mengesan signifikan sesebuah travelog.

Dari sisi lain pula, penulisan travelog lazimnya diungkap dengan santai menggunakan bahasa yang longgar. Apa yang ingin dikongsi menjadi lebih mesra dan mudah sampai. Hinggakan pembaca secara automatiknya seperti sedang mengulangi kembaraan tersebut.

Setidak-tidaknya pun, pembaca merasai penulis itu seorang yang ramah mengakrabi mereka. Sehingga menerbitkan rasa akrab pembaca terhadap warna yang dibancuh pengarang. Dan dalam masa yang sama, seolah-olah si penulis sedang berlisan dengan khalayak secara langsung.


Kadangkala di akhir lembaran tulisan, penulis dengan murah hatinya akan menyediakan hidangan 'pencuci mulut'. Di mana diperuntukkan beberapa helaian dengan lampiran gambar-gambar kenangan travelog sebagai tatapan pembaca.

Itu juga dikira bonus. Nilai tambah yang mampu memperkukuh dan menambahkan lagi seri keistimewaan sesebuah travelog.


Wallahu'alam.

3.

Untuk menjadikan Travelog menarik, perlu bersedia untuk... sebuah penulisan jujur bersahaja. Hemah mengungkapkan emosi dan kronologi. Bijak memperincikan diskripsi dan bermain dengan diksi. InsyaAllah, pasti memikat hati.

Nota: Tahniah juga kepada sahabat-sahabat penulis yang lain. Ada yang bertanya, Travelog saya bila lagi? Seloroh saya, "Entahlah bila nak on track. Agaknya kena tunggu 'cukup haul dan nisabnya' dulu kot..."

Wednesday, April 13, 2011

Anekdot Tentang Gadis Bernama MARIA

"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melampaui batas. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." [al-Baqarah: 190]

Terus-terang.

Sementelah momentem menulis saya ini sedang menurun, saya mahu duduk diam-diam. Berkonsentrasi meladeni seorang gadis bernama Mary (Maria).

Sebenarnya, sejak 2009 lagi saya berhajat mahu bersama Maria. Sahabat-sahabat saya ada berbisik-bisik memperkenalkannya. Malah, ada juga yang sudi menawarkan Maria untuk dipinjamkan.

Seingat saya, ketika itu Maria belum lagi berada dalam pasaran buku Malaysia. Cuma berlegar-legar sekitar Mesir, hasil keluaran PMRAM. Dan pertengahan 2010, PTS Islamika Sdn. Bhd telah berjaya mengambil peluang bagi terbitan pertama tanah air. Tahniah!

Alhamdulillah. Saya sudah mendapatkannya penghujung tahun lepas bersama kumpulan karya lain. Cuma baru sekarang tiba giliran dan berkesempatan untuk Maria. Itu pun setelah puas mengakrabi 'Sumayyah'.

Kini, hasil garapan penulis terkemuka Turki, Emine Uzqan Syenlikogiu yang diterjemahan oleh Tuan Mohd Rofizi Dollah mesra di tangan saya.
Apa yang menarik, kedua-dua penulis dan penterjemah Maria ini pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Mengikut coretan Emine atau Aminah, penulisannya ini berkisar tentang sebuah kisah benar yang pernah didengarinya sendiri. Sebuah kisah yang berlaku di negara Jerman sekitar tahun 30-an. Mengetengahkan episod konflik-pergelutan tiga penjuru, Islam-Ateis-Kristian.

Bagi saya, persoalan cinta yang diselitkan jatuh perkara kedua.

Membaca karya sastera Islami ini, saya menemukan petikan di bawah. Dalam bab berkaitan persidangan sulit tahunan bagi gerakan berfahaman Ateis. Sebahagian dari agenda jahat yang diboldkan ini sangat membuatkan emosi saya bergalau:

"...Perlu diingat, kita tidak akan berjaya mempengaruhi pelajar secara lebih berkesan kecuali dengan cara mempengaruhi sekolah-sekolah, lebih tepat lagi mempengaruhi yayasan-yayasan dan kementerian yang mengendalikan sekolah-sekolah. Pada hemat saya, cara yang terbaik adalah dengan menubuhkan berbagai-bagai persatuan serta memberi hadiah sebagai penghargaan kepada penyelia yang mengendalikan persatuan itu."

"Untuk pengetahuan tuan-tuan sekalian, cara ini adalah langkah yang berkesan bagi mempengaruhi keperibadian yang kurang iman..."

"Pada hemat saya, mungkin dengan cara psikologi seperti ini juga, kita dapat mempengaruhi para ulama Islam, iaitu dengan membahagikan mereka kepada dua bahagian; ulama yang taksub dan ulama yang mempunyai fikiran terbuka."

"Tuan-tuan yang dihormati, saya rasa kita juga boleh tambahkan lagi strategi gerakan ini iaitu perlaksanaan projek ibu tunggal (
single parent) yang melahirkan anak zina. Sekiranya masyarakat dapat menerimanya, ia adalah satu kejayaan besar bagi kita, Timur dan Barat. Dari itu, sama-samalah kita pertahankan revolusi ini."

"Tuan-tuan yang dikasihi, usaha tuan-tuan mempengaruhi wanita Islam sehinggakan mereka sanggup berbogel adalah hasil yang baik. Jangan lupa, wanita yang sanggup menanggalkan tudung kepalanya atas slogan kemodenan suatu masa kelak tanpa segan silu menanggalkan pakaian dalamnya pula. Semua ini bergantung pada usaha kita. Walau bagaimanapun, tuan-tuan jangan berasa pelik dengan keadaan serta suasana negara hari ini, kerana ia adalah negara tuan-tuan, dan negara tuan-tuan juga adalah negara kami."

Begitulah realitinya.

Senyap-senyap, Islam hari ini sudah lama terancam dari segenap lapisan. Tangan-tangan itu telah dan sedang giat berusaha. Sedaya-upaya mereka akan terus memperkosakan Islam sehingga ranap dan lenyap.

Dan kita, apakah sebenarnya yang kita sedang perjudikan untuk Islam kita?

Atas nama Islam yang dianuti, sejauh manakah perlaksanaan taklif kita sebagai muslim sejati?

Untuk menjawabnya, saya sendiri malu. Makanya, saya tidak berhasrat melanjutkan persoalan lagi.

Cukuplah anekdot ini tumpang menggambarkan. Cukuplah anekdot ini tumpang menyedarkan kita yang terkadang ghaflah dibuai keasyikan duniawi. Dan moga-moga ia juga dapat mengingatkan kita yang hanya selesa sebagai Islam 'cukup-cukup makan'.

Ya. 'Cukup-cukup makan' hingga terpaksa pula 'sampai hati' melihat kepincangan tunggang terbalik Islam kita sendiri.

Noktah.

Oh ya. Sepatutnya untuk Maria, satu dua hari sudah memadai. Akan tetapi dek kerana sering terlelap pulas, Maria dan saya terpaksa intim berhari-hari.
Jadinya, adalah lebih sedap menyelak-nyelak Maria satu dua bab ketika sarapan subuh. Segar dan lapang.

Saya mahu habis menikmatinya. Sambil berhibur mengisi masa, akan tetapi apa yang lebih penting, saya mahu dihidangkan dengan provokasi pemikiran dan ideologi.

Semoga ia bermanfaat~

Nota:
1. Sadis. Undang-undang Perancis sudah mengharamkan purdah untuk wanita Islam di sana. Sebaliknya 'dihalalkan' wanita yang mahu mendedahkan payu dara di Cannes
. Itu negara orang. Tetapi itu juga Islam kita.

2. Bertambah sadis di Malaysia. Macam-macam semakin 'loghat'. Sekolah Harapan, Jasin direkodkan produktif. Melaka bertambah maju dengan projek 'single parent'. Itu negeri orang. Tetapi itu juga Islam kita.

3. Syukran jazilan kepada sahabat budiman yang sudi menghadiahkan saya karya Tuan Sabariah Tuan Ishak. Sebuah buku kecil hasil rakaman intipati hidup sebagai seorang 'Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)', Ustaz Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wednesday, March 30, 2011

Solusi: Betapa 'Azimnya NikmatMu

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [ath-Thalaq: 2-3]

Dalam hidup kita, berfikir dan bermuhasabah sangat diperlukan. Kedua-dua proses ini merupakan salah satu tugas utama setiap mukmin yang berakal. Setiap mukmin yang benar-benar mahu beriman kepada Allah SWT.

Dengan berfikir dan bermuhasabah, kesejahteraan hidup kita juga mudah dicapai. Malah, ia dapat menjana minda optimistik dan membina kesan positif terhadap sesuatu perkara.

Namun, tidak semua kesannya muluk-muluk sahaja. Adakalanya, semakin jauh kita berfikir dan bermuhasabah, semakin sulitnya mencari natijah. Kita sukar menemui titik-titik jawapan. Hati kita terus-terusan diselubungi khilaf.

Ya, kita keliru.
Buntu. Dan bercelaru. Selalunya dalam membuat pilihan dan keputusan.

Itu sebabnya, kekadang timbul persoalan mengapa kunci telah tersedia di depan mata, tetapi solusinya tidak juga berkunjung tiba. Kita berkeluh-kesah tidak sudah-sudah.

Seelok-eloknya ubah cara berfikir dan bermuhasabah.

Di sinilah peri pentingnya
takwa dan tawakal. Maka, bagi yang setia beramal dan beriman dengan 'ayat 1000 dinar' di atas tentu lebih mudah untuk memahami dan merasai akan fadhilatnya.

Teruskan. Bertakwa dan bertawakallah bersungguh-sungguh kepada-Nya.

Janji Allah bukan omongan kosong. Bukan sia-sia...

Oleh yang demikian, kita kena yakin dan percaya bahawa Allah merancang dengan penuh rahsia. Dan apabila sampai masanya,
Allah akan beri nikmat-Nya juga. Nikmat yang kita tidak terjangkakan.

Barangkali saat itu, desis hati kita pasti berbunga-bunga merafakkan syukur.

"Ya Tuhanku, bagaimana harus aku percaya semua ini? Betapa 'azimnya nikmat yang Engkau berikan!"

Alhamdulillah. Akhirnya, segala persoalan kita terjawab jua bukan?

InsyaAllah, selagi kita bertakwa dan bertawakal, pasti Allah akan ketemukan kita pada kemuncak solusi yang telah ditentukan-Nya~


Nota: Selalunya saya beroleh idea dan bersemangat baru sejurus meratah buku. Tetapi terasa perlahan dan sambil lewanya saya menghadam ilmu. Entahlah. Lambat atau cermat wallahu'alam!

Tuesday, March 22, 2011

Adik-Adikku, InsyaAllah Boleh!

"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang bertujuan menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan." [al-Luqman: 6]

Setelah berpetang-petang siarannya, malam tadi, tamam sudah acara kemuncak rancangan Adik-Adikku Musim Ke-2. Senyap-senyap ada yang setia mengikuti perjalanan rancangan ini sedari awal kemunculannya lagi. Tidak kurang, ada juga yang langsung tidak sedar serta 'memandang sebelah mata' akan kehadiran adik-adik petah di saluran 1.

Tidak mengapa.

Mereka ada pilihan hati mereka sendiri.

Kalian ada pilihan hati kalian sendiri.

Dan saya juga ada pilihan hati saya sendiri.

Bagi saya, rancangan ini boleh diklasifikasikan sebagai warna-warni hiburan yang mampu mendidik jiwa. Sebuah rancangan TV yang mendorong pengisian minda. Dan semestinya sebuah program realiti yang menyediakan tapak akademi kepada penda'ie-penda'ie muda.


Tahniah!

Terutamanya kepada pihak JAKIM dan RTM yang sudi menjadi penerbit bersama. Tidak dilupa, penaja-penaja hadiah berfaedah yang bermurah hati menaja. Lebih-lebih lagi, mabruk'alaikum kepada para murabbi yang beridea dalam mengetengahkan bakat-bakat cilik kita.


Sungguh tidak dinafikan, kesemua finalis rancangan ini telah berjaya 'menyihir' penonton dengan pelbagai teknik persembahan yang sangat berbakat. Bahkan, aksi mereka dilihat konsisten serta memikat. Isi penyampaian juga diadun dengan baik supaya bijak menasihat walaupun adakalanya sedikit menyengat.

Pasti sekali, ramai yang memuji-muji program kerohanian ini. Ya, terbaik. Hebat dan wajar diteruskan lagi.


Setuju!

Saya sendiri memang terasa puas dengan sajian ampuh sebegini. Berbanding lambakan program realiti lain yang entah apa-apa mengarutnya. Sudahlah 'tidak sihat', membazir dan melalaikan masyarakat.

Berbalik kepada pentas akhir realiti 'Adik-Adikku', cuma pada malam tadi saya agak kepelikkan. Ralat dan masih lagi tertanya-tanya kerelevanan lagu nyanyian Siti.

Macam 'lari tajuk' pulak!

Entah kenapa pada musim ini, pihak penganjur menampilkan 'mereka' dalam rancangan sebegini.

Perlu sangatkah?

Aha, tapi kenapa ya?

Adakah kerana yang seorang itu tersohor nombor satu Malaysia. Dan yang seorang lagi itu ikon jelitawan Permata Negara? Bukankah 'mereka' selayaknya angun bergaya segelamor biasa? Dan tidak hipokrisi sebagaimana 'mereka' berpenampilan di pentas anugerah popular lain?

Sungguh. Jujur saya katakan, 'mereka' terbabit telah menjadikan pentas akhir rancangan bercorak Islami ini agak jengkel dan 'kurang kena' kesesuaiannya. Sedikit sebanyak kehadiran 'mereka' yang tidak diperlukan ini boleh mengecewakan mood peminat 'Adik-Adikku'.

Bukan apa. Persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung kepada cara kita berpakaian. Bukankah ia menjadi aib jika kita mempersendakan bab tudung kepala sendiri? Bahkan, ia boleh menimbulkan fitnah kepada Islam.

Sudahnya, buat mata-mata yang menonton sedap mengata sahaja.

Diharapkan untuk musim mendatang, pihak penganjur dapat menapis dan menyesuaikan para jemputan yang lebih terpilih akhlak teladannya. Biar aura dan seri rancangan ini tidak 'selekeh' dek yang bernama 'Dato dan Seri'.

Tambahan pula ini rancangan berjenama Islamik. Dikhaskan untuk anak-anak yang masih rebung. Risau juga kalau-kalau pemikiran mereka bercampur-baur dan keliru. Maklum sahaja, ini bukan pentas akademi sebagaimana pentas 'rebung' Idola Kecil atau Tom-Tom Bak beraksi.

Apa pun, tahniah sekali lagi untuk rancangan sebagus ini.

Sama-samalah kita mengislahkan diri.

Adik-Adikku, insyaAllah boleh!


Nota: Nantikan pula rancangan abang-abang dan kakakku di pentas final AQ Musim Ke-5!

Friday, March 04, 2011

Sempena 4 Mac Ini

"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk (hidayah), Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka." [Muhammad: 17]

Sempena 4 Mac Ini

Saat
diri merasa cukup dengan segala nikmat pemberian

Saat diri melafaz syukur atas segala penganugerahan

Sungguh dalam diam, tiada malu mengharapkan

Sinar hidayah yang bernilai syurga

Selagi mana berbaki usia dan berhembus nyawa

Sebagai hamba-Nya...

Izzahnm @ Izzah al-Maliziyyah
29 Rabiul Awal 1432H
~Big River, Darul Ehsan~


Nota: Jazakumullah khairan kathira atas ucapan doa dan iringan hadiah kalian bersempena 'hari kedewasaan' ini.