Tuesday, January 06, 2009

Hijrahku lagi


Salah satu pengertian hijrah adalah berpindah atau bergerak. Muslim selalu berubah (untuk lebih baik) dan bergerak, juga tidak stagnan. Begitulah resam manusia, sebagai abid di dunia yang fana ini kita ibarat musafir diperjalanan nan jauh. Bermula dari alam rahim ke alam dunia, kita seringkali akan berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat kerana itulah hakikat sebenar yang perlu kita sedari.
Sabtu lepas saya telah berpindah ke rumah baru di SB. Saya bertolak dari KP ke KL pada hari Rabu pukul 1.00 tengahari dengan ditemani bonda tercinta. Perjalanan kami sedikit sulit kerana hujan begitu lebat dari Penang hingga ke Tanjung Malim. Bonda tidak putus-putus mengingatkan saya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga walaupun agak lewat tiba di KL.
Kebetulan pada malam tersebut KL begitu sesak dengan banjiran warga kota yang berpusu-pusu untuk
menyambut tahun baru. Sempat la juga saya membawa bonda pusing-pusing menikmati view sekitar KL. Sebenarnya pusing-pusing yang tidak sengaja ini disebabkan kesilapan saya tersesat masuk Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak menuju KLCC. Terdetik juga rasa bersalah dan kasihan pada bonda di sebelah yang keletihan seharian menemani saya.

Dalam kebuntuan menemui jalan-jalan yang banyak ditutup, saya terus mengambil keputusan untuk ke tempat kerja lama saya di Kementerian Kesihatan Bangsar. Setelah menanti lebih kurang 15 minit, sahabat 'talian hayat' saya pun sampai untuk guide kami hingga ke Pangsapuri Melur, Sentul. Semeriah sambutan tahun baru, maka semeriah itu juga saya merayakan peniduran tahap dewa dewi kerana kepenatan. Tiada istilah menanti tahun baru, yang ada cuma misi hijrah yang satu...

Hari Khamis pula saya membawa bonda dan Mak Ngah ke Pustaka Mukmin Jalan Tunku Abdul Rahman. Rehat yang belum puas tidak menghalang saya untuk melangsaikan hajat mereka mendapatkan buku-buku agama. Seawal subuh keesokkannya pula saya bergegas ke Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor untuk menghadiri sesi taklimat penempatan guru KPLI 2009.
Bonda dan Mak Ngah khusyuk dalam 'pencarian jiwa'
Selesai taklimat, saya segera menuju ke Kelana Jaya untuk menjemput bonda dan Mak Ngah di rumah saudara. Ziarah kami membawa ke malam. Pagi esoknya pula, kami memulakan misi menjejak SB. Selesai memindahkan barang-barang dan berborak mesra dengan penghuni lama rumah baru, kami singgah di Tonggak 10 SB untuk menikmati makanan tengahari. Em, memang sedap masakkan nasi goreng kampung di gerai Daya Sari. Sepanjang perjalanan balik ke KL, bonda saya tak putus-putus memuji. Hari ini adalah hari ketiga saya merasai masakkan di situ.
Usai solat Asar, saya sekali lagi melangsaikan hajat bonda untuk menziarahi saudara di Taman Teknologi Kajang. Sambil bertukar cerita, Chu Ah dan kak Siti menghidangkan kami kuih karipap, samosa, buah limau dan nescafe. Lewat malamnya pula, kami mengakhiri misi menuju ke rumah sepupu, anak Mak Ngah saya di Sunway Semenyih. Lebih kurang pukul 2.30 pagi, saya dan bonda terbuai lena dalam keletihan bercampur baur...
Teko antik yang menarik perhatian saya ketika ziarah di rumah Chu Ah dan kak Siti

Bertepatan dengan bulan Muharam, saya membuka lembaran tahun ini dengan misi hijrah dari kampung ke SB. Setiap tahun, terasa diri ini seperti orang badwi. Em, jangan ada yang salah menyebut Badawi pula. Saya cuma orang Islam Malaysia yang hidupnya berpindah randah. Tapi kaum Badwi yang moden asparagus la kan. Kalau zaman Rasulullah SAW dulu naik unta di tengah padang pasir yang tiada kesesakkan. Tapi sekarang naik kereta ke tengah ke tepi jalan raya yang sinonim dengan jem. Ingatkan makan roti je dengan jem.
Hijrahku di Seri Utama SB
Zaman belajar dan awal-awal kerja, saya berkelana ke sana sini. Memang seronok bila berhijrah. Itu menunjukkan kita telah membuat satu perubahan dari satu titik ke satu titik baru yang lebih baik. Ada peningkatan kualiti hidup dan pengisian usia yang semakin bermakna. Yang tidak seronoknya, untuk menerima sesuatu penempatan baru, bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai kemungkinan dan kerisauan berlegar difikiran. Kerinduan pada tempat lama juga bagai merasuk jiwa. Agaknya sudah menjadi fitrah kita akan merindui sesuatu setelah hilang dari pandangan.
Saya merasakan ada hikmahnya apabila kita selalu berpindah atau berhijrah. Ini kerana, kita akan berfikir kemanakah kita selepas itu seterusnya berazam untuk berubah ke arah yang lebih baik lagi dari yang lama. Mungkin juga ada hikmah sebenarnya yang kita tidak tahu, bahkan hanyalah Allah sahaja mengetahui segalanya. Apa yang saya harap dan doakan semoga dengan perpindahan baru ini akan lebih bersungguh dalam menuntut dan menyampaikan ilmu serta mendapat kejayaan dan keselamatan dunia akhirat. Begitu juga sahabat-sahabiah semua...

No comments: