Sunday, January 18, 2009

Special Teacher?

Senyumlah supaya alam turut tersenyum kepada kita...
Sekejap sahaja masa berlalu. Kini sudah dua minggu saya bergelar guru novis. Sudah dua minggu juga saya menjadi warga KKBP di SB ini. Saya masih lagi mencari ruang-ruang keserasian untuk menerima suasana dengan rutin hidup baru sebagai seorang murabbi.

Kalau diungkitkan kembali cita-cita ketika dibangku sekolah dulu, tentu saja hendak ketawa berdekah. Rasa macam terpalik sindiran pada diri sendiri. Apa tidaknya, saya tidak pernah meletakkan cita-cita menjadi guru sebagai profesion utama yang diidamkan. Tapi sekarang...

Aku guru kini, esok dan selamanya.

Baru bersantai-santai cuti dihujung minggu, esok akan bermula kembali rutin saya sebagai guru. Baju, buku, lesson plan, worksheet, hafalan kemahiran bahasa isyarat dan sarapan pagi esok sudah tersenarai dalam kepala. Tapi satu benda yang sinonim dan tidak pernah padam dalam kotak fikiran seorang guru sudah tentulah cuti. Minggu ini saya sangat termotivasi dek kerana cuti sempena Tahun Baru Cina sudah tidak berapa hari lagi. Rancangan untuk balik kampung tak sabar dinanti.

Oh Jumaat, cepatlah tiba!

Itulah realiti saya sebagai seorang murid suatu ketika dulu yang kini telah menjadi guru. Hati dan perasaan punya rasa yang sama. Cuti sentiasa berlegar di kepala. Hari sentiasa terhitung di jari. Senyum sendiri...
Lebih dari cuti semata-mata, karier guru dalam dunia pendidikan menjanjikan peluang bagi memberikan perkhidmatan dan menyumbang kepada perkembangan individu. Mendidik kanak-kanak memberi ganjaran, kepuasan peribadi dan keyakinan. Itu pun jika saya mampu menyampaikan ilmu sebagai orang yang terlatih dan mempunyai strategi yang teratur. Andai sebaliknya, sendiri mau ingat la kan. Semoga murid didikkan saya mampu menggunakan ilmu yang dipelajari dalam menghadapi cabaran baru dalam hidupnya.
Untuk pengetahuan pembaca, murid yang saya maksudkan adalah murid khas. Murid yang mengalami masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan. Mereka tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Saya adalah salah seorang daripada guru mereka, special teacher for special student. Sebagaimana pendidik lain, special teacher tetap menjadi guru dan masih lagi memegang gelaran pendidik. Cuma bezanya, kami hanya menangani murid-murid yang unik dan istimewa.

Menjadi guru pendidikan khas memang menyeronokkan walaupun pernah suatu ketika dulu timbul perasaan melecehkan. Malah pernah juga saya ketawa seakan memerli kakak sendiri yang juga guru pendidikan khas. Ceritanya tak pernah lekang di bibir. Ada saja yang dibawa pulang. Jika yang mendengar imannya tipis, sudah pasti akan memandang hina dan jijik pada mereka yang mungkin bakal menghuni syurga.

Rupanya, tidak kenal maka tak cinta, sudah kenal memang penuh dengan cabaran. Semoga saya dan rakan-rakan sealiran akan menghargai anak-anak ini sebagai rahmat Allah bagi menguji keimanan masing-masing. Betul, yang membezakan setiap orang adalah imannya.

Rasa macam cinta baru sahaja berputik. Ya Allah, kekalkanlah rasa ini...

Apabila berada dalam dunia pendidikan khas, misinya hanya satu iaitu membimbing mereka tanpa rasa menyesal untuk undur kebelakang. Itu hakikat dan realitinya. Bukan mimpi atau angan-angan lagi. Jauhilah bolak hati ini untuk berundur merindui kerjaya lama saya di pejabat berhawa dingin. Malam ini sebelum melelapkan mata, saya akan cuba memikirkan beberapa sebab mengapa saya menjadi special teacher? Adakah kerana minat, cabaran baru, hubungan sebelumnya, balik kampung, tiada pilihan, eskapisme, elaun atau ketentuan Ilahi?

Bukan semua orang sanggup terlibat dalam dunia pendidikan khas. Hanya guru istimewa dapat mendidik anak istimewa. Saya terfikirkan sepotong ayat ini yang boleh dikongsi dan direnungkan bersama, "apabila kita tidak mencari sesuatu, kita tidak akan menemui sesuatu..." ~

4 comments:

Ibnu Ali said...

Assalamualaikum

Izzah same dengan akak saye, mengajar di pendidikan khas. Sepanjang cuti arituh macam ceriter dari akak saya. Tapi semuanya kelakar dan menggelikan hati..

Namun sebenarnya terpancar keikhlasan dari diri mereka untuk belajar walaupun hakikatnya nampak susah dari usaha mereka.

Mereka memang istimewa...

Tahniah buat guru yang sewaktu dengan izzah..

Aisya Humaira said...

Wsalam WBT ustaz Akmal...

owh yeke? em,mesti syok je kan layan cerita anak-anak istimewa ni. Kalau saya bercerita pun, mesti ada yang leleh air liur ni...

Kalau kat sekolah, diorang le pengubat hati jiwa saya. Secara pandangan mata, kita nampak lebih sempurna. Tapi dalam masa yang sama, merekalah golongan yang melengkapi dan mewarnai erti kesempurnaan kita.

Bila difikir-fikir balik, saya menumpang rezeki mereka sebenarnya... rezeki insan istimewa~ :-)

Ibn al Haramain said...

update blog tuh.guana tak update lame tuh:)

Aisya Humaira said...

Bukan tak nak update la Ibn al Haramain, masa dan idea ambo blm seteru. Ni balik kampung jap sempat le ngadap blog sampai ter'syahid'. Letih sokmo je nih. Tak tahu le apa yang tak kena... hehe~