Monday, February 02, 2009

Lidahku, lidahmu jua...

Bercakaplah apabila perlu supaya tidak disulami dosa...
Biasanya kita dengar ungkapan 'tak sayang mulut', 'mulut takder insuran' dan 'mulut longkang'. Malah pepatah Melayu ada menyebut, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Apalah dosa si mulut dek kerana lidah yang berlaku 'curang'.

Kecurangannya lebih tajam daripada mata pedang!

Tanpa lidah, tentu sukar untuk berkata-kata, tentu hilang deria merasa, tentu hilang seri seluruh anggota. Tetapi jika ada, fungsinya bertambah-tambah pula. Biasanya lidahku, lidahmu sentiasa bertali arus. Fungsinya tidak cukup sekadar di rumah. Bersambung-sambung bawa ke office, bawa ke sekolah. Singgah di kedai bertokok tambah. Malah ada yang rakus mengusung sampai ke ceruk tandas. Lebih dasyat lagi jika di tempat baik seperti masjid pun hilang kawalan... Astaghfirullah!

Perbuatan ini tidak perlu tunggu geng bersemuka dengan member selidah, ia lebih mudah dan canggih dihujung jari. Teknologi sekarang banyak membantu melalui SMS, e-mel, chat dan blog. Hanya di atas papan kekunci PC dan telefon bimbit lidah bersambung. Bermodalkan satu sen pun sudah mencukupi untuk mengumpat, bergosip dan memfitnah. Murah bukan? Tapi dosanya 'mahal' beb!

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunting/mengintai sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang."
[al-Hujuraat: 12]

Ayat ini secara jelas menunjukkan betapa Islam amat memandang serius mengenai amalan gheebah (mengumpat), nameemah (gosip) dan buhtah (fitnah). Inilah yang saya maksudkan. Tiga dosa lisan ini memang sering dilakukan. Bagaimana lidah kita boleh gelincir ke dalam perangkap gheebah, nameemah dan buhtah? Sudah tentulah ia bermula dengan berprasangka.

Sama ada secara sedar atau pun tidak, mungkin kita menganggap ia sekadar gelak ketawa, bahan jenaka untuk bersenda. Mungkin juga kita rasa seolah-olah ia rutin perbualan biasa. Lidah kita dinilai positif dan tidak pula terasa ia berdosa. Hari-hari kita buat, sikit-sikit jadi banyak. Akhirnya jadi amalan dan kebiasaan.

Letih...

TAUBAT

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

"Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Az-Zumar: 53]

Ayuh lidahku, lidahmu... jom kita neutralkan keasidan dan kealkaliannya. Pakat sama-sama bertaubat. Rajin-rajinlah membasahkan lidah bagi mendoakan kesejahteraan mereka yang dahulunya dianiaya oleh lidah 'karat' kita~


4 comments:

Anonymous said...

:)isorte

anas said...

ya betul, "kerana pulut, santan binasa.. kerana mulut, badan binasa." pepatah arab juga mengatakan kata2 lebih tajam drpd mata pedang. sekali terlanjur perbuatan, masih boleh diundur. sekali terlanjur perkataan, amatlah susah untuk diundur. :) teruskan usaha!

IMANSHAH said...

diam lebih baik dari berkata-kata..bercakap bila perlu dan untuk perkara yang mebina sahaja.

Izzah Al-Maliziyyah said...

Assalamu'alaikum WBT to anasadanan dan imanshah... terima kasih beri komen. Ya betul pendapat kalian.

Doakan setiap terbitan kata kita sentiasa tersusun dan indah, lancar dan difahami, malah manfaat untuk semua. Andai tidak mampu, cukuplah senyuman pengganti bicara [dapat juga pahala sedaqah... hehe]~