Saturday, April 17, 2010

Batu Membatu Atau Batu Membantu


"...Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia jadikan baginya satu jalan keluar. Dan dikurniakan dia dari jalan yang ia tidak sangka-sangka." [al-Thalaq: 2-3]

Singapura dilanggar todak, jatuh maruah raja disebabkan akal budak. Sejarah Melayu telah menceritakan bahawa Hang Nadim ialah budak yang menegur Raja Temasik (Singapura). Raja ini menerima nasihat dan kemudiannya memerintahkan rakyatnya berkubukan batang pisang bagi menahan serangan ikan todak.

Ternyata sungguh idea tersebut lebih praktikal dan berkesan. Malangnya, Hang Nadim telah dijatuhi hukuman buang ke laut disebabkan hasutan menteri yang dengki. Kecerdikannya itu dikatakan bakal menggugat takhta raja.


Kejam pula bila melihat Hang Nadim dibunuh kerana kecederdikkannya. Lebih sadis lagi tatkala melihat ada manusia yang terbunuh kerana kekhilafannya. Sukar menerima teguran...

Rasulullah SAW yang dibimbing oleh wahyu dan bersifat maksum pun tetap suka mendengar pandangan daripada para sahabat. Cuba kita soroti seketika kisah Saiyidina Umar Al-Khattab, apabila beliau diangkat menjadi khalifah. Beliau sedia menerima teguran seorang sahabat yang ingin 'meluruskannya' dengan pedang jika beliau melakukan kesilapan.


Pengajarannya, tegur menegur itu amalan mulia. Amalan yang baik tetapi yang tidak baiknya, jika yang telah ditegur itu tegar dan yang menegur itu pula kasar melempar. Boleh menjadikan semuanya bergegar dan sukar digambar.

Orang berjiwa biasa menganggap teguran sebagai batu penghalang. Batu yang membatu. Dibaling semberono menghujum ke muka. Sakit dan melukakan. Diketuk pula hanya menambah bengkok.

Sedangkan orang yang berjiwa luar biasa menganggap teguran sebagai batu loncatan.
Batu pengasah yang membantu menajamkan mata pedang. Kalau pun ia mengetuk hingga membengkok, tetapi tujuannya untuk membentuk.

Terpulang...

Cari-cari memilih batu, jangan sampai jadi keliru, hati-hati di jalan berliku, jangan sampai sesat sebatu.
Wallahu'alam bisshowab~

Nota:
1. Barangkali entry ini boleh menjadi 'pertalian darah' dengan mana-mana entry di blog saya atau di blog rasmi dan personal orang lain.

2.
Jauhi sikap terlepas pandang. Kalau hanya keliru seinci, sesat sudah sebatu, bukankah rugi namanya?

1 comment:

imannuha said...

wahhhh hebat sungguh izzah berbahasa!!!!