Sunday, June 17, 2012

Tawakal 'Ala Allah


 "Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah." [Ghafir: 44]

Lambat-lambat saya menyapa laman terpencil ini.

Jujur, memang lama ia sengaja ditinggalkan berirama sendirian.

Kesepiannya terpaksa saya pendamkan saja.


Demi Allah! rindu nian siapa yang tahu. Namun, tiada yang lebih indah daripada perasaan bergantung harap kepada Allah.
Dengan izin-Nya, saya belum pun dapat kembali dari daerah 'beruzlah'.

Wah, dengar-dengar sudah ada yang bertanya dan menegur. Tidak kurang sekerat dua yang bersungut...


Apakah akan wujud lagi kalam saya di sini?

Atau sudah jauh menyelam ke wilayah perairan Karibia?

Atau telah berjaya mendakap awan di puncak Kalimanjaro?

Atau sedang kemaruk menyulam cinta di 'Jabal Rahmah'?

Tidak untuk Karibia, Kalimanjaro dan Jabal Rahmah...

Nah, ini cekatannya!

Buat yang menyangka-nyangka, alhamdulillah saya masih berkudrat. Tekal bersujud dan berjalan di bawah langit-Nya. Hanya masa dan kehidupan saya sahaja sedikit berubah. Terpanggil untuk berdiam dalam tempoh tertentu. Mencari diri di sebalik kekhilafan selama ini. 

Sebagai seorang Muslim, dalam merentasi benua kehidupan ini, tidak ada lain yang dapat kita bertaut melainkan tawakal 'ala Allah. Apa yang lebih penting, saya sudah merentasi sebahagian tempoh waktu yang direncanakan. Harapan saya supaya dapat sesuatu daripadanya.

Demikian juga, semoga Allah membuka ruang kepada saya dengan apa yang tidak dibuka sebelum ini. Hanya kepada Allah, saya serahkan niat dan harapan... Amin!


Sebelum kabur kata-kata transit saya, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan terima kasih kepada kalian yang masih sudi bertamu di gubuk terpencil ini.

Andai ada salah silap saya, baik kecil mahupun besar, mohon semuanya disucikan dengan kemaafan daripada hati yang tulus~


Nota: Saya cuba memahami apa kebarangkalian yang belum saya lalui sebelum ini. Bak kata penyair, Abu Firas al-Amiri yang dikenali dengan Mad al-Arab:

"Berpisahlah. nescaya kau dapati pengganti yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Sekiranya singa tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya, tidak akan mengena sasaran."




Monday, August 29, 2011

Salam Eidul Fitri 1432H/2011M

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Setiap kalimah yang baik (كل كلمة طيبة صدقة) itu adalah sedekah."
[HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad]


تقبل الله منا و منكم صالح الاعمال
كل عام و أنتم بخير
من العائدين و الفائزين و المقبولين
عيد مبارك

Salam Eidul Fitri 1432H/ 2011M

Mohon kemaafan zahir & batin di atas segala kekhilafan saya

Semoga amal ibadah kita diterima Allah SWT dan segala dosa-dosa kita diampuni oleh-NYa, sehingga kita menjadi orang-orang yang kembali kepada kesucian dan termasuk di kalangan orang-orang yang mendapatkan kemenangan dengan keredhaan-Nya

آمين يا رب العالمين

Nota: Terima kasih Ramadhan...


Tuesday, August 16, 2011

Wadi Ramadhan Ini

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda,
"Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berkaitan baginya." [HR al-Tirmidzi dan lain-lain sedemikian]


Wadi Ramadhan ini

Sudah separuh menyusut pergi
Terlalu banyak warna keculasan
Apabila mendampingi yang tidak berkaitan
Ayuh, segera kita tinggalkan~

Sunday, July 24, 2011

Kesempatan Bersama MTQ

"...Ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar
dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah
kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku." [al-Isra': 80]


Barangkali atas prinsip 'mahu pergi' dan 'wajar pergi', kebanyakkan yang dihajati agak menjadi untuk dipenuhi. Malah, terdorong juga untuk disertai. Syukur, tahun ini saya berkesempatan bersama-sama membawa anak-anak Bermasalah Pendengaran menyertai MTQ Pendidikan Khas Peringkat Daerah Sabak Bernam diikuti MTQ Pendidikan Khas Peringkat Negeri Selangor.

Dan malam tadi pula saya nekad untuk tidak melepaskan peluang turun ke MTQ Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 1432H/2011M.
Sebagaimana yang dijanjikan, saya gagah merempuh trafik KL yang agak macek. Malah, terpaksa juga menempuh ragam manusia yang pelbagai dan menyerabutkan minda. Tidak mengapa. Demi MTQ, saya rela 'tutup mata' sahaja.

Alhamdulillah, segala MTQ tahunan selesai sudah.

Harapnya, majlis-majlis seperti ini bukanlah kunjungan terakhir saya. Seperti ungkapan klise peserta, tahun depan insya-Allah mahu bertanding lagi. Tetapi saya, tahun hadapan terniat mahu bersama-sama MTQ lagi. Niat menjadi cita-cita dan cita-cita menjadi azam.

Ameen Ya Qadial hajat~

Nota: Maaf kerana sekian lama lumpuh upaya membuahkan hasil di sini. Rasanya sangat tidak patut jika saya menyelit satu dua alasan. Biarlah tiada beralasan langsung. Ah, bukan senang mahu mereka-reka alasan. Hehe...

Sunday, June 12, 2011

Kemuncak Maksud

"Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kawinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas." [HR. at-Tirmidzi]

Tahniah buat semua pasangan pengantin baru yang telah selamat diijab qabulkan musim cuti ini. Berbahagialah kalian hingga ke hujungnya.

Bagi yang sedang bersiap-siap untuk 'mendaki' ke arah itu, semoga selamat sampai. Jangan lelah mengatur langkah. Jangan 'mandek' hingga ketemu pada kemuncak maksud yang diharapkan.

Allahumma Ameen~


Wednesday, June 01, 2011

Dan Siapalah Saya

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi,
lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada." [al-Hajj: 46]


Tafakur dan tadabbur alam juga merupakan ibadah.

Malah, ia dapat mengajak kita untuk mencari keuntungan daripada kurnia-Nya. Dan supaya kita sentiasa bersyukur dengan nikmat-Nya.

Memanfaatkan keindahan alam sekeliling bukan sekadar 'cuci mata' yang redup berpinar-pinar supaya kembali bersinar-sinar. Bahkan, sekaligus dapat menenteramkan jiwa raga yang acapkali berbalam tercalar-balar.

Sungguh, hati saya selalu berbisik kagum. Betapa alam ini indah nan sempurna. Dengannya bisa sahaja membahagiakan. Pasti Penciptanya itu jauh lebih indah lagi sempurna. Dengan mendekati-Nya tentu lebih bisa membahagiakan.

Maka, siapalah saya jika tidak mahu berfikir tentang kurnia-Nya. Dan siapalah saya jika tidak sudi mengambil pelajaran daripada nikmat-Nya. Ya. Dengan rasa rendah diri, penuh khilaf dan fakir, siapalah saya ini...

Tentulah cuti sekolah kali ini terniat untuk berjalan-jalan lagi. Sebolehnya bukan berjalan-jalan sembarangan seperti biasa. Hajat di hati mahu menjejak jalan tuk sampai 'ke sana'. Apakan daya, jasad dan jiwa saya masih akrab berselirat di sini.

InsyaAllah, moga-moga cita-cita ini termakbul dengan kesempatan dan kelapangan rezeki akan datang. Seiring dengan kesungguhan azam saya bersama kehendak-Nya juga. Ameen. Ameen. Ameen Ya Rabbal A'lameen.

Ayuh! Walaupun di mana jua kita terjejak, marilah sama-sama kita melihat dan memahami alam ini dengan hati. Semestinya menerusi mata hati yang jauh 'berada di dalam dada'~

Nota:
1. Selalunya kita mudah dipukau oleh cantiknya dunia. Namun sukar pula kepada indah dan nikmatnya ibadah. Aduh! Mengapa ya?

2. Tahniah dan selamat mengerjakan ibadah umrah buat sahabat-sahabat saya yang sedang menjadi tetamu Allah. Rasa sedikit cemburu dengan kalian.

3. Alangkah terasa tenang dan damainya hati ini setiap kali mengulang dengar khalimah-khalimah tayibbah menerusi kantung MP3 dan video nasyid Zikrullah. Wah! Barangkali kepentingannya sama sepertimana ikan memerlukan air. Like miraculous!