Ahh… inilah dia bicara kata golongan yang tidak bertanggungjawab dalam perniagaan. Mudah berjanji apa sahaja.
Saya tertanya-tanya sendiri. Apakah mereka tidak merasa malu dan takut kepada Allah SWT atas perbuatan yang selalu ini.
Dalam hati saya tak putus-putus mengucap. Rasanya mulut ini mahu sahaja membebel yang bukan-bukan. Apa tidaknya, sudah dua bulan saya mendengar janji-janji palsu mereka. Loya tekak hampir terhambur keluar.
Hati kecewa saya pula hanya terpamer menampakkan sebuah senyuman bercampur sindir.
Serik, ralat semua berbekam jauh di sudut hari. Inilah yang dikatakan takdir. Puas saya menyimpang akhirnya berakhir juga dengan jerutan kaki temberang.
Rasa geram berbaur cemuh saya pada 'ahli keluarga' syarikat Melayu ini tidak sudah-sudah. Bukan saya tidak pernah mendengar cerita-cerita putar belit 'ahli keluarga' syarikat ini. Penipuan mereka macam disuruh-suruh. Sudahlah tidak pandai berniaga, ada hati menipu pelanggan.
Jadi muak dan bosan bila mana bersungguh-sungguh salah seorang daripada pekerja syarikat tersebut menjelaskan itu ini kepada kami. Katanya mereka sedaya upaya sedang berusaha hendak membaik pulih nama syarikat yang sekian lama tercemar.
Tapi apa sudah jadi? Inilah yang dikatakan cakap tidak serupa bikin. Masih kekal dengan 'perangai' yang sama. Beginilah kisah Melayu lupa diri. Entahkan bila hendak maju kalau asyik lupa diri!
Memandangkan kes ini bukan kecil, rakan-rakan juga keluarga saya mengusulkan pandangan agar saya membuat aduan polis, KPDN dan lain-lain yang berkaitan.
Customer have right to speak out their rights?
Alhamdulillah, repot polis sudah keluar dan saya telah memanjangkan aduan ini kepada KPDN. Terima kasih kepada orang kampung saya, Encik Ghazali kerana sedang berusaha membuat siasatan.
Doakan saya mendapat balik hak saya sebagai pengguna. Moga kekuatan usaha kami ini membuahkan penyelesaian dan mencapai harapan.
Kini tanpa perlu diajar-ajar, manusia yang ditindas dan dizalimi seperti saya, akan merintih jiwanya mencari keadilan. Rintihan jiwa manusia yang dizalimi itu mencari keadilan, adalah jalan untuk dia bertemu dengan Tuhan. Di situ Allah memperkenalkan Diri-Nya sebagai YANG MAHA ADIL (AL-‘ADL).
Selayaknyalah golongan manusia yang alpa ini dihukum Tuhan kerana culas dalam mengatur urusan sesama manusia.
TANBIHUL GHAFILIN
Sejak berdepan dengan karenah syarikat ini, saya membuat persepsi bahawa manusia seperti mereka adalah golongan tidak cerdik juga tidak baik. Merekalah golongan yang lupa diri. Allah benci penipu dan orang yang mudah dipedaya.
Fikir-fikirkanlah peniaga-peniaga muslim yang beriman. Tunjukkanlah peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram, sudah tentu tidak ada penipuan dalam perniagaan.
Ya Allah, berilah aku ketabahan dalam membina kekuatan supaya menjadi Mukmin Profesional... orang yang BAIK dan CERDIK. Bukan manusia lupa diri... Na'uzubillah~