Cetusan rasa hati ini bukan untuk menjentik hati sesiapa. Hadamlah dengan berlapang hati. InsyaAllah tidak akan ada yang berkecil hati
Kekadang jiwa saya buntu bercelaru. Kekadang jiwa saya lesu terharu. Kekadang jiwa saya kosong kelabu. Kekadang jiwa saya rindu berlagu. Jiwa rasa ini berbolak-balik. Umbang-ambingnya bagai dikocak arus air bersama deru angin. Hanya saya sahaja yang mampu mencernakan setiap terpaan rasa itu... hehe depresi apakah ini?
Sungguh. Beginilah menjadi seorang hamba yang melankolik. Dasyat bukan? InsyaAllah, virus melankolik saya ini belum ke tahap perlu berjumpa psychologist. Masih mampu dikawal. Masih tidak membebankan sesiapa. Saya hanya lakukan apa yang saya rasa dan suka dalam hidup saya. Atas nama kebaikan barangkali.
Sekarang ini mudah sahaja. Apa sahaja perkara yang menyesakkan diri, saya akan memilih jalan untuk berlalu pergi. Better i go first! Saya lebih gemar mendampingi kemahuan saya yang agak ghairah ke arah lain. Maaf, bukan laman sosial facebook Zuckerbeg atau yang seangkatan dengannya. Saya tidak gemarkan itu semua.
Saya lebih senang meladeni alunan muzik nasyid yang phlegmatik sifatnya. Tenang dan damai. Saya lebih kemaruk mengulati siri bacaan tentang ketenangan yang akhirnya membentuk inspirasi. Saya lebih selesa mendampingi laptop antik saya yang semakin hari semakin rongak dicerca orang. Biarkan sahaja...
Malah, saya lebih rela membawa diri dalam dunia anak-anak bisu yang sering menghiburkan. Anak-anak mangsa 'kesibukkan'. Kesian sungguh. Saya juga lebih suka menyendiri di rumah dengan kerja-kerja harian yang tidak seberapa. Saya pasti ia bisa memutikkan bunga-bunga bahagia.
Alhamdulillah, kebetulan hari ini rezeki bergaji lagi. Saya sudah berhitung kira mahu belanja diri sendiri. Sudah pasti buku-buku pilihan di booth KLIBF 2010. Saya juga bercadang untuk mendapatkan koleksi cenderamata sebagaimana tahun sudah. Belanja bukan sebarang belanja. Barangkali sekadar meraikan saya yang sedang menuju perubahan.
Perubahan apa? Transformasi hala tuju negarakah? Alah, senyapkan sahaja. Cukuplah anda tahu bahawa saya sedang teruja membajai sesuatu. "Ya Allah, saya perlu sukakan hati saya dengan tidak sesuka hati!"
Suka hati...
Suka hati dan...
Suka hati jugalah~