Saturday, January 31, 2009

Belacan, Hafifah belum mencukupi...


Sepanjang menghabiskan cuti peristiwa minggu lepas, ke mana sahaja saya pergi sentiasa ditemani bonda. Baik ke Padang Besar, Up Town KP, mahupun menjamu selera di jeti Kuala Perlis. Alhamdulillah, bertuah sungguh saya. Sudah besar panjang pun masih ada yang sudi menemani.

Pada saya, masakan paling enak setiap kali pulang ke kampung adalah masakan bonda sendiri. Kerana dalam masakan itulah paling banyak kasih sayang dilimpahkan. Bukan saja masakan, saya juga menggunakan servis gunting rambut daripada tangan bonda sendiri. Sekurang-kurangnya dapat berjimat dan bermanja sekali. Isnin lalu saya menyediakan menu petang yang agak simple. Sekadar pisang dan keledek goreng 'bujang' untuk memberi nilai kasih sayang... hehe.
Oh panas, panas! Alhamdulillah, laris...

Selesai menjamu selera petang, kami ke Sungai Baru untuk membeli belacan. Pesanan istimewa daripada guru-guru KKBP yang teringin nak merasa belacan Perlis. Untuk tidak menghampakan keinginan mereka, saya dan bonda ke Sungai Baru. Sepanjang jalan ke sana, kami menikmati view laut Kuala Perlis.
Jalan-jalan cari belacan Sungai Baru

Di Sungai Baru Kuala Perlis terdapat banyak perusahaan belacan orang tempatan. Patutlah belacan dan orang Melayu sangat sinonim. Yang membuatnya orang kita, yang membeli dan menggunakannya pun orang kita. Yang bau macam belacan pun orang kita... hehe. Menurut bonda saya, belacan di sini agak terkenal juga. Mungkin kerana keenakkan buatan orang kampung. Mungkin juga kerana publisiti 'belacan selebriti Ezany' yang turut mempopularkan belacan di kawasan ini.
Belacan Ezany di MyDin Hypermarket

Usai solat Maghrib di rumah Mak Ndak saya, kami singgah pula di Plaza Kangar. Bonda saya berhajat untuk memborong barang-barang keperluan asasi di Pasaraya Hafifah. Pasaraya ini beroperasi dengan pembukaan empat buah cawangannya di sekitar negeri Perlis. Tahniah kepada pengusaha Pasaraya Hafifah. Moga gedung runcit Islam ini terus berkembang maju bagi menjana ekonomi Islam.
Plaza Kangar ada potensi, peluang pengusaha muslim untuk terus maju...

Semasa berkunjung ke sana, sempat juga saya mengintai lot-lot kedai milik pengusaha muslim. Saya mengajak bonda menemani ke tingkat atas bagi mendapatkan sehelai t-shirt muslimah di kedai buku. Sayang sekali warna-warna kegemaran saya sudah kehabisan saiz. Akhirnya saya akur dan memilih saiz dan warna yang ada. Pink pastle sesuai dengan citarasa MyHumairaKu.

Menurut bonda saya, harga barangan di Pasaraya Hafifah agak berpatutan berbanding The Store. Malah segala macam barangan, baik barangan asasi hingga kepada pakaian boleh didapati di sini. Pada saya, mahal murah yang tidak jauh beza bukan penghalang berjual beli sesama Islam. Apa salahnya jika kita berbelanja di pasaraya milik orang Islam. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan membantu perniagaan saudara seagama kita.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Yang menolong saudaranya, Tuhan akan menolongnya". [Riwayat Al-Tirmidhi dan Imam Ahmad]

"Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya menolong saudara-saudaranya". [Riwayat Al-Tirmidhi dan Abu Dawud]
Bonda saya sedang memborong barangan asasi 'bersamamu' untuk keluarga pakcik

Saya melihat pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan fakktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya sikap orang kita sendiri. Keyakinan kita lebih terarah pada perusahaan milik orang bukan Islam.

Betul juga kata Dr. Yusuf al-Qaradawi, "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai... Jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimport bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai dalam menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun."

Di SB ini juga kedai yang dimiliki oleh umat Islam jumlahnya terhad. Tiada cawangan MyDin Hypermarket di sini. Saya cuma dapat berbelanja di Pasaraya Sri Kassim. Itu pun tidak sepenuhnya. Barangan yang ditawarkan agak terhad. Maka terpaksa akur berpatah balik ke pasaraya lain untuk melengkapkan keperluan.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya ada yang bersikap 'tiada selera' untuk membeli di gerai, kedai atau pasaraya milik saudara muslim sendiri. Dalam erti kata yang sebenar, kita akan terus menjadi umat yang lemah walaupun gah berbelanja besar di pasaraya-pasaraya 'hebat'... Pakat ramai-ramai cari jalan, buka jalan. Belacan, Hafifah masih belum mencukupi! ~

2 comments:

IMANSHAH said...

JIka saudari berkunjung ke Kelantan, pasti saudari kagum dengan kecekalan wanita-wanita kelantan berniaga. Ibu saya juga berniaga walau tidaklah sebesar mana. Namun atas dasar kepuasan dan menjalankan petrniagaan berlandaskan syariah, dia sangat cintakan bidang ini. Yang penting katanya berniaga untuk memuaskan hati pelanggan.

Izzah Al-Maliziyyah said...

Sebenarnya, saya dan dua adik beradik yang lain dibesarkan oleh bonda kami sebagai ibu tunggal. Kecekalan bonda terlihat apabila dialah ibu, dialah ayah.

Selepas perpisahan orang tua, bonda saya terus mengorak langkah mengusahakan perniagaan berlandaskan syariat Islam. Alhamdulillah berkat ketekunan, hasilnya ada seperti sekarang.

Saya turut bersyukur kerana kami diajar untuk tidak menjadi golongan yang meminta-minta tetapi memberi. Malah bonda saya banyak membantu masyarakat sekeliling dengan perniagaannya yang tidak seberapa~