Saturday, January 24, 2009

Hijau dan biru tanda sayang

Assalamu'alaikum WBT...

Maaf kerana hampir seminggu saya meninggalkan blog tidak berupdate. Rasanya belum bersawang lagi. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang prihatin dengan pengaktifan post-post di blog MyHumairaKu. Malah respon pembaca juga menjadi pendorong untuk saya terus menulis di sini.

TAHUN BARU DAN CUTI PERTAMA

Hari ini saya merayakan cuti peristiwa pertama sempena Tahun Baru Cina. Usai sahaja waktu sekolah, saya bersiap-siap untuk bertolak. Sebagaimana dulu, saya masih ghairah dan rajin untuk balik kampung. Setelah menghantar housemate di hentian bas SB, lebih kurang pukul 1.20 tengahari saya bertolak dan tiba dengan selamatnya di kampung pada pukul 8.00 malam. Pada mulanya, saya terasa perjalanan semalam agak membosankan...


Apa tidaknya, saya seperti orang bisu. Memandu sendirian dan hanya bertemankan lagu-lagu yang dimainkan pada MP3 player modulator. Lagu berulang entah yang ke berapa kali. Sesekali mata berair menahan rasa mengantok yang teramat. Sedar-sedar saya sudah tiba di depan pagar rumah.

Alhamdulillah, selamat sampai ke destinasi.


Terima kasih pada rakan sejawat saya, cikgu Shahrol kerana berbesar hati menyediakan lakaran peta. Walaupun cuma buatan tangan dengan sedikit penerangan ringkas, tetapi ia cukup membantu saya. Perjalanan kali ini menjadi lebih mudah dan dekat.

Disebalik putih kertas ini ada hijau dan biru...

Sepanjang jalan, betapa damainya mata saya menikmati view sawah padi yang hijau menguning, jajaran pohon kelapa, kelapa sawit dan bukit bukau. Tidak ketinggalan bendera-bendera hijau yang turut megah berkibar di kiri kanan jalan. Malah yang birunya juga kukuh bersaing.

Subhanallah, semuanya cantik.


Sesekali pandangan saya terpukau dengan keindahan langit biru yang memayungi kita. Selapang langit, selapang itu juga diharapkan pada hati ini. Hijau dan biru saling memukau pandangan saya.
Tiada yang sia-sia, Allah menjadikan keseimbangan dan aturan yang sempurna untuk memungkinkan kehidupan di dunia. Allah memberitahu kita tentang perkara ini di dalam Al-Quran:

Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya. [Surah Al-Anbiyaa' :31-32]

Hijau biru tanda sayang

Cuba kita bayangkan...

Sekiranya Allah menjadikan langit berwarna merah dan pokok berwarna jingga, apakah perasaan kita? Gusarkah kita melihat warna-warna yang tidak tenang? Tengok, dari situ kita sudah dapat lihat betapa sayangnya Allah pada kita. Betapa Allah sangat memahami keperluan dan kehendak hati kita dengan memberi nikmat yang macam-macam kepada kita.

Betapa kita dapat merasai satu perasaan yang indah saat kita memandang langit yang biru, laut yang terbentang luas dan pohoh-pohon hijau yang segar merimbun.
Adakah kita melihat alam ini hanya untuk seronok-seronok sahaja? Adakah kita hanya melafazkan Subhanallah sahaja tanpa kita ambil pelajaran daripadanya? Tentu ada jawabnya.

Keletihan semalam kembali menyinggah. Sekejap-sekejap saya terlelap.
Semoga episod cuti singkat saya ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjernihkan kembali emosi, jiwa dan pemikiran.


2 comments:

Ibn al Haramain said...

rasa rindu plk nk balik kampung:((

Izzah Al-Maliziyyah said...

insyaAllah moga dipermudahkan niat itu~