Gambar sekadar hiasan
Sudah tujuh minggu saya bersama anak-anak istimewa di SKSU SB. Ini bermakna sudah tujuh minggu juga saya 'bermain' dengan bahasa baru, bahasa isyarat (handspeak/fingerspelling). Jemari yang keras dan kaku ini semakin hari semakin lembut beraksi. Kepetahannya ibarat anak kecil yang baru belajar bercakap. Kadangkala rasa teruja hingga tersasar. Paling tidak senonoh bila sesekali termerepek entah apa-apa.
Kesian. Adakalanya saya terasa buntu dan tepu untuk menjelaskan sesuatu. Sampai berkerut dahi anak-anak murid saya cuba memahami. Ada juga yang menggaru dan mengetuk kepala sendiri seperti hilang punca. Mungkin inilah gambarannya jika ayam dan itik cuba berkomunikasi. Apa pun, saya belajar untuk tidak mengeluh dengan kekurangan mereka dan berputus asa dengan ketidakpandaian saya. Wujudnya mereka dan hadirnya saya adalah untuk kami saling melengkapi dan sama mensyukuri.
Setiap hari kami sama-sama 'berjuang'. Kamus kod tangan menjadi sasaran utama untuk mencari dan menyakinkan sesuatu isyarat. Ilmu yang ada tidak jemu-jemu dikongsi. Mana yang salah, dibetulkan. Mana yang betul, diulang-ulang. Pengalaman bersama mereka cuba memahamkan saya bahawa keikhlasan dan kesungguhan adalah sumber segalanya. Mereka amat perlukan itu dari saya.
Alhamdulillah, nampaknya hubungan kami semakin mesra dan ramah. Saya kagum dengan kemurahan mereka berbahasa. Setiap pagi, 'ucapan' salam mereka mendahului salam orang lain yang bersuara. Nilainya cukup besar dan menambahkan keceriaan rutin harian saya. Senyum bertenaga...
Gambar sekadar hiasan PEKAK BADAK
Sungguh menarik dan memberi kesan yang besar bila berada dalam dunia orang pekak. Tidak dinafikan, memang sukar bila pertama kali saya mengajar anak-anak istimewa yang pekak dan bisu. Tapi hal ini bukanlah sesuatu yang baru dalam hidup saya. Remaja dulu, saya selalu berkomunikasi dengan jiran di kampung yang juga pekak dan bisu. Pendek kata, sayalah rakan terjemah dan member kamceng jiran kami tu.
Seperti komunikasi melalui suara, bahasa isyarat juga mementingkan bahasa badan (body language). Bahasa isyarat dan bahasa badan melalui mimik wajah yang pelbagai sangat penting. Oleh itu, ketidakfahaman tentang satu-satu isyarat yang diberi, mudah difahami melalui mimik wajah, pandangan mata, gerakan badan dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, bahasa isyarat berbeza dengan bahasa badan. Bahasa badan menjadi suatu subjek yang penting. Ia boleh diaplikasikan dalam semua subjek bahasa yang lain. Kerana bahasa badan itu lahir secara benar dan berlaku secara benar. Pendek kata, apa yang dituturkan selalunya tidak menggambarkan dengan tepat apa yang ingin disampaikan.
Tetapi awas! Selalunya bahasa badan setiap orang berbeza-beza. Kita perlu perihatin akan hal ini kerana ia bisa menimbulkan salah faham. Sudah tentu yang tidak faham itu akan buat tidak tahu. Orang kata buat 'dek'. Akhirnya lahirlah simpulan bahasa 'pekak badak'.
Untuk bahasa isyarat, jika kita tidak tahu menyampaikan sesuatu maklumat, gunakan sahaja kaedah mengeja dengan isyarat abjad. Memang agak lambat eja satu persatu. Melecehkan! Tetapi lebih baik dari menggunakan bahasa isyarat yang salah dan akhirnya mengundang salah faham.
Pada insan-insan yang dianugerahkan suara dan pendengaran yang baik, sebaiknya berterus terang apa yang kamu ingin sampaikan. Bukankah itu lebih senang? Jangan sengaja mengundang salah faham hanya kerana percaya bahasa badan kita ini boleh difahami oleh si dia atau mereka. Silap-silap hari bulan kita akan dipekak badakkan oleh mereka.
Pekak bisu atau sempurna pancaindera, hidup ini terlalu indah jika kita saling memahami, faham memahamkan. Semaikan budi, indahkan bahasa... hidup sentosa bertambah selesa~