"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." [al-An'am: 59]
Sejujurnya, saya sendiri tidak ketahui. Barangkali ini entry terakhir saya. Boleh jadi tidak. Malah, kemungkinan besar akan ada perkongsian yang seterusnya. Itu pun belum tentu lagi hasil ketipan jari-jemari saya. Dan belum tentu juga catatan yang terzahir itu nanti datangnya dari keinginan hati saya.
Wallahu'alam. Semuanya tidak mustahil bukan?
Wallahu'alam. Semuanya tidak mustahil bukan?
Entah-entah entry yang akan datang adalah satu entry khas. Khusus untuk saya kepada kalian. Terbit di sini daripada seseorang yang mewakili diri saya. Saya yang sudah terlalu jauh. Menyampaikan khabar berita pemergian seorang Izzah Al-Maliziyyah.
Agaknya, ini bunyi keterharuannya...
"Al-Fatehah buat Almarhumah pemilik blog MyHumairaKu.
Assalamu'alaikum WBT. Untuk pengetahuan semua, pemilik blog ini, si fulanah binti si fulan telah pun kembali ke Rahmatullah pada sekian masa dan tarikh yang lalu. Saya berharap kalian semua dapat memaafkan Almarhumah atas kekhilafan beliau sepanjang kalian mengenalinya di sini atau di mana-mana.
Mohon disedekahkan Al-Fatehah untuk Almarhumah."
Aduh. Bagaimanakah nanti ya?
Membayangkan hal seumpama ini memang menakutkan. Gerun. Hati saya mula bergetar. Dan debarnya sikit-sikit jauh terasa.
Ya. Suratan takdir memang tiada siapa yang mampu untuk menjangkanya. Bila sudah tiba masanya, 'realiti' tidak mungkin ditangguh. Perpisahan akan tetap menjengah juga walau sesiapa pun cuba melarikan diri daripadanya. Meski air mata dengan murahnya menjadi saksi. Ketika itu, segala-galanya harus ditinggalkan jua.
Aha, saya juga ada tertanya-tanya sendiri. Bagaimana kalian akan menyambut berita itu nanti? Sudikah kalian mendoakan saya? Paling kurang, cukuplah jika kalian dapat memaafkan salah silap saya. Ameen.
Baiklah rafik sekalian, saya tidak berhajat untuk mengundang kerisauan sesiapa. Maafkan saya ini. Saya yang suka dan sering mengungkapkan mauduk sebegini. Senyum sejeda. Saya rasa hendak ketawa...
Alhamdulillah.
Hari ini, kalian sedia maklum bahawa saya masih di sini. Saya adalah perahu yang menongkah arus. Sebuah perahu yang perlu terus meredah segara. Mengharung mehnah dan tribulasi di permukaannya.
Hanya sesekali berehat di pengkalan singgahan. Entah bila akan selamanya berlabuh di pengkalan abadi. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja. Pemilik anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib.
Ah, sedikit waktu lagi saya akan melewati usia awal 30-an. Bukan soal tua, kedut dan entah apa-apa lagi yang kebiasannya dirisaukan. Tetapi ada sesuatu yang lebih serius.
Memikirkannya, hidup ini seperti dicubit-cubit. Buat saya tersedar. Mengharuskan saya supaya lebih kemas dalam tindakan dan masa depan. Lanskap kehidupan saya perlu diperindahkan sebelum ia lebur berpapasan.
Entahlah.
Sejak akhir-akhir ini saya agak gerun melihat cermin. Pandangan saya sentiasa terarah dari satu sisi yang berbeza. Setiap kali itu juga, intuisi saya seakan berkata-kata mengenai ajal. Terlihat kematian sedang memanggil saya. Kian mendekat. Karib. Saya merasainya. Sungguh merasainya.
Dan cuma hati berdetik, andaiku tahu...
Ya Rabb, pinjamkan hamba-Mu ini kekuatan itu.
Allahumma ameen. Allahumma ameen. Allahumma ameen~
Nota: Saya ralat bila ada orang terlebih berseloroh bab kematian. Katanya takut tidak sempat mengecap nikmat berkahwin. Bagaimana pula dengan kesempatan bertaubat? Bukankah yang itu jauh lebih nikmat?