Tuesday, November 02, 2010

Nantikan Saat Itu

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik." [al-Ma'arij: 5]

Sejak saya menginjak dewasa dan bertambah usia ini, soalan berkaitan jodoh adalah bentuk soalan yang paling laris. Paling laku sampai ke telinga saya. Ada yang lembut berhemah. Ada juga yang keras membelasah.

Sungguh. Serba salah hendak menjawab. Kadangkala, terasa ringan pula mulut saya ini melepaskan das jawapan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah kelucuan yang membingungkan saya sendiri. Entah kenapa soalan ini berjangkit-jangkit seputar yang sama. Berturutan hampir saban masa yang sama juga. Tambah lagi bila si penanya itu adalah orang yang sama.

Letih.

Baru selesai satu, menerpa lagi tiga.

Masing-masing berlumba-lumba tanya.


Barangkali, jika saya himpunkan segala koleksi soalan ini, tidak mustahil boleh mencecah berguni-guni banyaknya. Macam peraduan tanya dan menang pula!

Lazimnya, soalan yang ditanya nampak mudah. Namun, yang menghairankan saya apabila kebanyakan soalan itu hampir memerlukan saya memerah kepala. Sampai satu tahap, hilang kalimah-kalimah untuk berkata. Hanya senyuman sahaja sebagai galang gantinya.

Paling terbaharu, saya dikunjungi soalan oleh seorang lelaki yang mutazawwij. Lelaki yang masih ada tiga kekosongan untuk diisi.

"Itulah memilih sangat. Tak takut jadi andartu ke? Nanti nyesal."

Ini fitrah. Ini lumrah. Persoalan seumpama ini tidak akan lenyap begitu mudah. Malah, saya pernah diasak dengan sangkaan yang lebih memarahkan daripada ini. Sampai hati dikatanya saya penghidap mati pucuk yang tidak bernafsu.

Astaghfirullah, menyayat hati sungguh!

Tidak kurang yang pantas mendahului pesoal-pesoal lain. Pertanyaan mereka lebih berprestasi dan bervisi. Saya kurang pasti samada ia bermotifkan lawak semata-mata atau memang serius terbit dari hati.

"Bila cikgu nak mengandung?"

"Bila cikgu nak bersalin?"

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak, saya mesti berdepan juga. Situasi sebegini akan bertali arus sehingga mana terpatrinya sebuah jawapan.

Berwalimah, mengandung, bersalin dan seterusnya.

Benar. Sekadar harapan di bibir saya yang entah bila ketahuannya, amat sukar untuk menawarkan persoalan sesiapa. Begitu juga empunya diri. Hanya peristiwa yang praktikaliti menjadi kepercayaan dan kesahihan.

Hari ini, saya perlu bijak mengasah kematangan. Saya mesti serlahkan ia dalam menangani kebarangkalian mendatang. Saya tidak boleh membiarkan perasaan saya porak-peranda berperang. Memberontak dan merusuh keseorangan.

Mempositifkan diri adalah sebaik-baiknya.

Baik untuk saya. Baik untuk mereka. Baik untuk kita.

Semoga Allah beri kekuatan.

Jika ada yang mengatakan saya tidak merancang, tidak bersungguh memikirkannya, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah juga merancang. Sedangkan Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Jika ada yang mengatakan saya memilih, saya akui kebenarannya. Tiada alasan untuk menidakkan. Secerewet mana pun saya memilih, maka mereka perlu lebih tahu bahawa Allah sangat hebat memilih. Dia telah sedia memilih. Allah jualah sebaik-baik Penentu.

Dan jika ada yang mengatakan saya terlalu berahsia perihal jodoh. Bukankah takdir kita masih terhijab? Semuanya hanya pada kerahsiaan Allah SWT. Allah jualah Maha Mengetahui.

Ya. InsyaAllah.

Dengan sebuku kesabaran di hati, saya tidak pernah jemu menantikan saat-saat itu. Saya yakin segalanya telah tersedia. Sampai masa, Allah akan melorongkannya juga. Pada lorong-lorong yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Amin Ya Rabbal 'Alamin~


Nota:
1. Tahniah kepada kalian yang turut berusaha. Sesungguhnya, siapalah saya yang tiada berdaya ini.

2. Ayuh, mari tingkatkan usaha hingga berjaya. Dan jangan lupa, Allah sedang berbicara kepada kamu dan saya tentang sabar itu cantik!

5 comments:

IMANSHAH said...

Salam..org yg mengalami situasi sama ingin mensihati..

insyaAllah ada tu!!

CS said...

salam,
lom kawin org tnya, bila nk kawin, dh kawin, org tnya bila nk ada anak...hmmm soalan yg xpenah habis...bersabarlah walau ia tidak mudah..InsyaAllah..janji Allah itu pasti..

Unknown said...

Rasulullah bersabda " Apa pun yang akan berlaku, dakwat telah mengering" . Maksudnya suratan telah tertulis dalam kitab di lauh mahfuz sejak azali. Jadi kita redha pada Allah, sambil berusaha, bertawakal dan berdoa. Sesiapa menyerahkan nasibnya pada Allah, hati akan lapang.

ayschaanur said...

insyaAllah..
sesungguhnya Allah itu maha pemalu..
malu untuk tidak menunaikan permintaan hambaNya..
same2 kiter berdoa,semoge mudah semuanya...=)

Anonymous said...

Salamelekom,wbt duhai adikku Izzah yang dikasihi kerana DIA,

Didoakan semoga bertemu jodoh dengan segera. InsyaAllah, ada kelapangan nanti, abg akan kongsikan kisah mengenainya.

(*___^)
Abgbent