Friday, December 12, 2008

"Barakallahu lakuma..."

Makan nasi di atas dulang,
Gulainya lazat ikan tenggiri,
Makan sireh sekapur sorang,
Sampainya hajat undangan kami...
Assalamu'alaikum WBT.

Sebagaimana entry yang lepas, tulisan saya kali ini adalah kesinambungan untuk mencari baraqah menuju keredhaan Ilahi. Maklumlah, musim cuti sekolah pastinya ramai yang akan melangkah ke 'dunia baru'. Dunia perkahwinan mahupun dunia pertunangan. Kalau perkahwinan, pastinya perlu dihebah-hebahkan dan dimaklumkan kepada orang lain. Tetapi bagaimana pula dengan pertunangan? Bertunang perlu ke untuk dihebah-hebahkan kepada orang lain?
Sebagai seorang yang bakal bertunang, sebaiknya tidak perlu dihebahkan kepada orang lain, kecuali kepada saudara mara atau sahabat terdekat. Jika tidak dihebah, bagaimana pula orang lain akan tahu 'bunga di taman bakal atau sudah disunting orang'? Jangan disempitkan pemikiran kita hanya kerana perkara remeh ini. Semuanya ada jalan jika kita mahu bertindak secara berhemah.

Sebenarnya, pertunangan itu adalah separuh langkah menuju perkahwinan, bukan satu kepastian yang jitu tentang perkahwinan kelak. Jika ada yang bertanya, mengapa tidak dikhabarkan status sebenar. Tetapi janganlah sampai 'lupa diri' bercerita 'A-Z'. Habis 'riuh sekampung'. Jelaskan sekadarnya dengan senang hati tanpa rasa ria'.

Pertunangan perlu dirahsiakan.

Gambar sekadar hiasan

Sehinggakan Nabi Muhammad S.A.W ada mengingatkan kepada kita: "Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan." [Riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu dan disahihkan oleh al-Albani di dlm Irwa' al-Ghalil]

Saya sangat bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh ustaz Hasrizal. Katanya, pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

Tambah ustaz lagi, kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal daripada berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup… selama-lamanya sampai mati.

Begitu juga kita sebagai sahabat. Jika kita maklum tentang pertunangan sahabat kita, jadilah sahabat yang amanah. Tidak perlu menyibukkan diri sebagai 'wartawan sambilan' kepada orang lain, samada secara direct ataupun melalui medium lain (sms, email, blog dan sebagainya).

Penting untuk menjaga kerahsiaan ini. Lebih-lebih lagi sesuatu yang personal atau private dalam kehidupan sahabat kita yang telah atau bakal bertunang. Sekadar pendapat peribadi daripada saya, melalui pembacaan dan rujukan daripada buku-buku juga website/blog yang lain.

Untuk sahabat-sahabat yang bakal bertunang, saya rasa pengalaman dan penulisan Abu Saif di http://saifulislam.com/?p=1269
elok dibaca sebagai rujukan bersama. Begitu juga dengan persiapan dan majlis yang bakal diadakan. Lakukan semuanya secara bersederhana, agar dilimpahi baraqah dari Allah.

Tidak perlu memancing glamour dan meniru cara Barat kerana kita orang Islam, punya adab-adab yang tersendiri. Dunia sekarang, majlis pertunangan sudah menjadi seperti majlis perkahwinan. Satu konsep yang cukup salah! Saya tidak bercakap kosong, kerana semua ini boleh dilihat di depan mata. Orang zaman sekarang, bertunang sudah berlebih-lebih ibarat hendak kahwin.

Aduh! Buatlah mengikut syariat, bersendikan adat, agar majlis dirahmati dan diberkati Ilahi. Selamat melangsungkan perkahwinan dan selamat bertunang buat sahabat-sahabat saya.

"Barakallahu lakuma, wa barak 'alaikuma wa jam'a bainakuma fil khair, wa razaqakuma zurriyatan tayyibatan tanfa'ul islam wal muslimin"

Maksudnya: "Semoga Allah membarakahi kalian dan melimpahkan barakah kepada kalian, dan mengumpulkan kalian dalam kebaikan, serta mengurniakan kalian zuriat yang memberi manfaat kepada islam dan muslimin keseluruhannya"

Semoga rumahtangga kalian sakinah, mawaddah wa rahmah... 'Selamat Pengantin Baru'~

No comments: