Saturday, December 20, 2008

A dan B sama membina...


Petang Sabtu...


"Blog awak tak menarik le", sedikit pandangan bersahaja daripada seorang sahabat kepada saya petang tadi. Sama ada itu pandangan ikhlas atau provokasi yang sengaja dicetuskan, saya sendiri tidak pasti.

"Terima kasih. Tak mengapalah kalau tak menarik. Saya sekadar mencetus idea untuk memberitahu apa yang saya tahu", jawab saya seikhlas mungkin kepada sahabat A ini. Senyum saya memekar kerana tertarik pada perkataan tak menarik itu. Ya, kenapa saya perlu kecewa dengan kritikan kelat sebegini.

Malamnya pula...

"InsyaAllah, saya akan sentiasa buka blog (nama sebenar penulis) dari semasa ke semasa. Sangat tertarik dengan journals yang (nama sebenar penulis) hasilkan", sahabat lain pula memberi pandangan. Berbanding petang tadi, malam ini saya tertarik pula dengan perkataan sangat tertarik sahabat B. Betul, kenapa saya perlu 'syok sendiri' dengan komen manis sebegini.

"Terima kasih kerana sudi membaca. Saya bukan penulis blog yang baik. Malah tak menarik pun. Tapi blog saya 'hidup' untuk saya menambah ilmu bagi mengambil tahu apa yang tak tahu. Akhirnya, saya menulis bila mahu memberitahu walau sepatah kata. Sharing is caring. Thats all", jawapan kepada sahabat B juga saya jawab apa yang terlintas di fikiran. Jangan pula ingat saya hipokrit hendak berlakon merendah diri. Tiada maksud lain yang tersirat di hati. Sebenarnya, saya ini mudah geli hati bila ada yang suka memuji.

BATU DAN AIR
Sifat batu dan air sama membina...

Kesimpulannya, pandangan pelbagai sahabat-sahabat ini amat saya hargai. Saya menerima pandangan A dan B untuk bantu 'membina', bukan 'meruntuh' saya. A dan B saya jadikan 'bahan konkrit' supaya menguatkan lagi semangat penulisan di blog MyHumairaKu. Sebagaimana sebuah bangunan, pembinaannya yang utuh memerlukan bantuan batu dan air. Keduanya perlu diadun bersama dalam kadar nisbah yang sesuai.
Mungkin A menilai tak menarik kerana blog saya 'berwajah' tidak secanggih blog lain. Mungkin A juga menilai tak menarik dari sudut gaya penulisan saya tidak memenuhi kehendaknya. Maka sahabat A ini layak memberi kritikannya.


Jika A begitu, B pula begini. Pada saya, sahabat B juga punya hak yang sama untuk memberi komen terbuka. Walaupun sebaliknya, pandangan B mungkin ada benarnya. Pandangan dan kehendak masing-masing berbeza. Terpulang pada yang memberi dan menerima.
Kita perlu akur dengan skill dan level pemblog adalah berbagai. Kita tidak boleh membuat persepsi konkrit bahawa semua bloggers mempunyai minat yang serupa. Ringkas atau panjang, berat atau ringan, jelas atau kabur itu adalah kemampuan penulisan masing-masing.


Secara peribadi, saya mengakui cara pemikiran dan penulisan-penulisan saya tidak sehebat bloggers lain. Mungkin kerana saya tidak pandai membuka isu-isu 'panas' semasa yang kontroversi dan luar biasa. Mungkin juga kerana saya ini tidak berani menulis selantang lidah-lidah orang politik di parlimen. Barangkali juga kerana saya yang menulis ini tidak pandai mengolah ayat-ayat berbaur hadith dan keagamaan. Semuanya itu adalah saya...
Jika anda juga berpandangan seperti A dan B, itu sudah cukup baik bagi diri saya. Ini membuktikan penulisan saya dinilai dan diambil kesah, malah direspon walaupun hanya dalam penulisan maya.~


No comments: