Tanggal 10 Dzulhijjah 1429H, saya menyambut Aidul Adha dengan kesihatan yang kurang stabil. Denyutan kepala berlanjutan sejak semalam lagi. Sekejap baik, sekejap berdenyut kembali. Panas badan mula menular. Dari muka membawa ke seluruh anggota. Hari ini, mata pula mula berair. Mungkin juga pengaruh cuaca atau alergy. Saya mudah 'diusik' nikmat ini. Nikmat hujan dan bulu kucing adalah rahmat Allah. Namun, keduanya itulah yang selalu didamba.
Hitam putih kehidupan... memori bersama anak-anak istimewa di SKDN, Alor Gajah
Teringat memori lalu. Saya menemui pelbagai ragam insan istimewa selama menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sek. Keb. Batu Berendam. Hari pertama lagi saya sudah mendukung Fitri dari kantin sekolah ke kelas Pendidikan Khas. Terkejut cikgu-cikgu di sana. Bukan hendak menunjuk hebat. Mungkin kerana kekuatan itu hadir sendiri bersama keinsafan hati? Atau mungkin juga kerana kekaguman saya terhadap insan-insan istimewa ini.
Sebagaimana Fitri, sepanjang praktikum di Alor Gajah, saya bersama insan-insan istimewa lagi. Ini taqdirku. Kehidupan cikgu Pendidikan Khas adalah untuk sentiasa bersama golongan istimewa ini. Saya berbangga bersama mereka. Kagum melihat kekuatan Amir dan Siti. Sebagaimana Fitri, mereka ini juga mempunyai kecacatan katogeri Cerebral Palsy dan sedikit Mental Retarded. Biarpun mempunyai masalah pembelajaran, Amir tetap rajin ke sekolah. Malah petah dan bijak di dalam kelas. Memori bersama mereka, saya cuba kenangi satu persatu. Termenung sendiri memendam kerinduan yang mula terasa.
Amir dibantu wheelchairnya ketika lawatan ke Menara Taming Sari
Syukur, Alhamdulillah. Betapa insafnya diri ini setiap kali melihat kebesaran Allah di hadapan mata. Bila difikir kembali kehidupan insan-insan istimewa, hati terdetik sendiri, mampukah saya jika itu taqdirku. Mungkin tidak setabah mereka.Kunjungan Aidil Adha...
Kehadiran sahabat saya pada tengahari tadi, mengundang sedikit kekok. Mungkin kerana sikap saya yang pemalu dengan pertemuan kali pertama. Juga terkejut dengan kehadirannya walaupun sudah dikhabarkan beberapa hari yang lepas. 'Kekurangan' yang dialaminya tidak membataskan dia untuk berkunjung ke rumah saya. Keadaannya serba berdikari. Saya mencuri pandang, menilai satu persatu. Rasa kagum punya sahabat seperti dia.
Mungkinkah pertemuan ini membawa seribu rahmat buat saya? Hanya Allah sahaja yang Maha Tahu. Kepada sahabat ini, terima kasih kerana sudi berkunjung ke teratak bonda saya. Walaupun kunjungan ini sesingkat cuma, semoga ia dapat memperkukuhkan ukhuwwah yang terjalin. Terima kasih juga atas ukhuwwah yang terbina. Sungguh, ukhuwwah itu adalah nikmat...
Siapa pun kita, bagaimana sekali pun keadaan kita, inilah hitam putih kehidupan yang perlu kita terima dengan berlapang dada. Tiada yang sia-sia, melainkan ada hikmah-Nya. Semoga Allah sentiasa memberi ketabahan pada anda untuk terus berjihad membina kekuatan.
No comments:
Post a Comment