Thursday, December 11, 2008

Nilai sebuah 'Kotak'

Bismillahirrahmanirrahim... Allahummabari'lana... sedapnya nasi goreng mak. Bertambah 'laju' bila pekena dengan keropok Kelantan. Nikmat...
Alhamdulillah...
Hari ini sudah masuk hari kelima saya bercuti di kampung. Debaran menunggu result posting diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang bakal ditunaikan. Bermacam-macam perancangan sudah berlegar di minda sejak sebelum bermulanya cuti lagi. Sama ada akan 'hangus' atau sebaliknya, wallahu'alam. Harapnya in order. InsyaAllah...
Sejak bermulanya cuti, saya belum sempat hendak mengodek barang-barang dari Melaka. Semuanya tersimpan rapi di dalam kotak. Maklumlah dua tiga hari lepas saya sibuk dengan agenda Aidil Adha. Rumah pula penuh sesak dengan riuh rendah keluarga kakak dan Pak Usu. Hasrat untuk mengemas terpaksa ditunda sementara waktu.
Selesai solat Zohor tadi, ruang rumah saya kembali lengang. Kesunyian tanpa keletah Amir mula terasa. Panggilan 'Anyah' tiada kedengaran dari mulut mungil itu lagi. Aduh... rindunya Mak Ngah pada suara dan keletah Amir. Malam ini juga tiada modal bahan usikkan saya. Si kembar Pak Usu, Luqman dan Nur'ain, juga sudah balik ke Kulim.

Sudut kecil ini...

Bagi melupakan kebosanan, saya mengambil peluang untuk mengemas barang-barang di sudut bilik. Tiada susun atur sehebat interior designer dibuat. Cuma saya sukakan kekemasan. Setelah MP3 lagu-lagu dari album Kalamak Suhaimi dipasang, aktiviti memunggah dari kotak pun bermula. Semasa memunggah, kelihatan kotak sedikit terkoyak dek henyakkan tibunan buku-buku dan barang-barang saya yang sarat. Mak memberi cadangan supaya kotak itu dibaikpulih.

Beberapa minit kemudian, kotak yang 'cedera' tadi selesai diberi rawatan...

Kiranya, hari ini aktiviti saya sekadar menyelenggara mana yang patut. Pengelasan juga dibuat untuk membuang barang-barang yang dirasakan tidak perlu. Sesekali mak datang menjengah di bilik, menyupervisorkan aktiviti anaknya. Disamping turut mengingatkan waktu solat.
Terlanjur saya menulis entry baru, sekali lagi pandangan beralih pada kotak tadi. Kotak yang saya beli beberapa bulan lalu semasa berada di Melaka. Kotak pink itu. Cantik dan bernilai jika terisi.

Cerita kotak bermula...

Kotak pink itu...

Kenapa perlu bercerita tentang kotak? Ada apa pada sebuah kotak? Mungkin cerita kotak ini tidak sehebat mana. Namun saya merasakan kotak sangat simbolik untuk saya kongsikan di sini. Nilai sebuah kotak ibarat waktu kita. Ia adalah modal kita. Waktu di akhirat nanti ibarat kotak-kotak penyimpanan bekal kita.

Satu jam dari waktu kita ibarat satu kotak. Satu hari waktu kita sebanding dengan dua puluh empat kotak. Setelah sampai di akhirat nanti, kita akan membuka kotak-kotak bekalan tersebut. Jika jam demi jam waktu kita diisi dengan sesuatu yang sia-sia, sudah pasti tiada pengisian kotak berlaku.

Tiada nilai pada kotak-kotak tersebut. Melainkan sia-sia belaka hanya dengan kotak kosong. Apa manfaatnya di akhirat nanti. Tentunya satu kerugiaan yang nyata. Celaka sekali orang yang ketika membuka kotak tersebut tetapi selalu mendapat kekecewaan kerana isinya kosong.

Nafas dan kotak.

Andainya setiap nafas kita dikumpulkan ke dalam setiap kotak. Maka di hari perhitungan dibuka semua kotak nafas kita itu satu persatu. Kotak pertama kosong. Kotak kedua kosong. Kotak ketiga berisi percakapan yang sia-sia. Kotak keempat berisi fitnah, umpat dan caci maki. Maka manakah amal yang boleh kita banggakan di depan Allah SWT?

Akan tetapi lain hal jika kotak yang pertama berisi bacaan al-Quran. Kotak kedua, hafazan kitab Allah dan hadith. Kotak ketiga, syarahan menyedarkan manusia. Kotak keempat, amal perjuangan Islam yang ikhlas. Kotak kelima pula berisi nafas keletihan berjuang di jalan Allah. Allahuakbar...

Maka inilah yang boleh kita banggakan di depan Allah SWT. Membazir masa adalah maksiat. Cerita nilai sebuah kotak berakhir di sini...

Mak saya kembali ke bilik mengingatkan waktu solat. Sekian sahaja untuk entry kali ini.

"Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang memanfaatkan masa dan kehidupan kami dan raihkanlah kemenangan umat Islam di atas usaha kami."

Hasbunallahu wa ni'mal wakil~

No comments: