Thursday, December 25, 2008
Cerita petang Khamis...
Cerita tentang hari Jumaat memang indah. Segala keajaiban dan kisah-kisah Islam berkisar pada hari Jumaat. Semuannya kerana kebesaran, kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Baru sedap nak memulakan cerita, adalah seorang sahabat saya bertanya melalui SMS... "Ada ceta (cerita) baru ker kat blog?" "Ada. Cerita zaman purbakala pun ada", jawab saya bersahaja dan meneruskan penulisan. Tapi kali ini, saya perlu langsaikan entry Jumaat lepas yang telah 'terbantut'. Berbalik pada hari Jumaat, kemuliaan dan fadhilatnya amat banyak sekali. Tidak mungkin saya dapat menggarap kesemuanya di sini. Saya berharap sedikit sebanyak penulisan petang Khamis ini akan membawa perubahan dalam hidup kita untuk membina hari-hari yang seterusnya. Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Padanya Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya juga dimasukkan ke Syurga, dan padanya juga dikeluarkan. Dan tidak terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat." [HR Abu hurairah, 5 perawi kecuali Bukhari] Hari Jumaat juga dikenali sebagai Sayyidul Ayyam (penghulu segala hari). Nama lain bagi hari berkenaan ialah Yaumul 'i-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan 'waktu mustajab'.Mengenai 'waktu mustajab' ini Rasulullah SAW ada bersabda, Malaikat Jibrail r.a. telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih. "Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik", kata Malikat Jibrail r.a. "Titik apakah ini?", tanya Rasulullah SAW kepada malaikat. "Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah Ta'ala pada saat itu, nescaya Allah SWT memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari", jawab malaikat itu lagi. Dalam sebuah hadith lain dijelaskan Rasulullah SAW ada bersabda, "Barang siapa membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan antara dua Jumaat." Rasulullah SAW juga bersabda, "Barang siapa membaca surah Al-Kahf di malam Jumaat dan di siang Jumaat, Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya hinggalah ke Jumaat berikutnya, dan memohon kesejahteraan baginya tujuh puluh ribu malaikat sehingga pagi, dan ia terpelihara daripada penyakit sopak, kusta dan fitnah dajal." Amalan dalam solat pada hari Jumaat yang merupakan sunnah Rasulullah SAW termasuklah membaca Al-Sajdah [surah ke-32] pada rakaat pertama, dan Al-Insan [surah ke-76] pada rakaat kedua dalam solat subuh. Ia adalah sunat dilakukan dan semoga kita dapat mempraktikkan dalam kehidupan seharian disamping amal-amal lainnya. Jangan pula kita menganggap, hari Jumaat hanya istimewa dengan solat Jumaat. Amat sedih sekali masyarakat kita mengandaikan hari Jumaat ini sebagai satu perkara yang rutin, yang diulangi tanpa ada apa-apa kesan di dalam jiwa... jauhkan prasangka ini, agar hari Jumaat benar-benar istimewa di hati kita.
Sekian sahaja cerita petang Khamis... Sekarang, Amir telah selamat kembali semula ke kampung. Menghabiskan cuti sekolah umi dan baba dia yang masih berbaki. Walaupun sedikit huru-hara, saya tetap rindu untuk melayan karenahnya. Anyah, Anyah, Anyah? Amir telah memanggil...ok Assalamu'alaikum WBT ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment