Tuesday, December 09, 2008

Walimah yang diimpikan atau yang disunatkan...

Gambar sekadar hiasan
"Bila nak bagi kad ni?", tanya seorang sahabat saya.
"Kami tunggu kad dah lama sangat. Kenapa tak sampai lagi...?", celah sahabat yang lain pula.

Pantang bertembung, inilah sebahagian bentuk soalan yang diajukan kepada saya. Hampir setiap hari sepanjang bulan November dan Disember ini, tutur soalan itu juga yang ditanya melalui 'khidmat pesanan ringkas'.

"Tak sampai ya? Tunggu je esok pasti sampai. Saya bawa manilakad untuk korang semua. Erm, nak colour apa ya?", dalam nada gurau saya menjawab dengan selamba butir-butir soalan tadi.
Terkedu mereka menerima jawapan mudah saya itu. Biarpun dengan senyuman melirik, tidak ada niat mahu mempersendakan sesiapa. Sekadar bergurau menambahkan kemesraan kami yang berbaki cuma beberapa hari lagi. [ketika di Melaka]
Wedding Of The Year... Mawi dan Ikin

Malam ini saya benar-benar teruja untuk menulis tentang walimatul urus. Kebetulan sambil supper nasi himpit, saya mengambil peluang membelek-belek kad-kad undangan walimatul urus sahabat-sahabat bagi tahun ini dan tahun-tahun sudah. Berbagai-bagai patern ada. Zaman sekarang segala-galanya sudah canggih. Dari segi saiz, reka bentuk dan hiasannya.
Masya Allah, sedikit kagum. Sehingga saya sempat berangan sekejap. Bagaimanakah kad undangan 'majlis perkahwinan impian' saya nanti ya?
Akhirnya, lamunan pun terhenti...

Itu baru cerita tentang kad. Belum lagi membuat lakaran asas seperti memilih tarikh, lokasi, tema dan sebagainya. Diikuti dengan langkah-langkah membuat persiapan majlis perkahwinan dengan terurus. Sehinggalah persediaan untuk hari sebenar majlis berlangsung dan perkara-perkara yang tidak boleh ditinggalkan selepas majlis.
Pendek kata, daripada A sampai Z lah! Tentu mengambil masa yang lama. The Royal Wedding dan celebrity lagi la hebat perancangan dan pengurusannya. Segala macam 'mak nenek' perlu menggunakan khidmat consultant and wedding planner.

Sudah menjadi lumrah, kaum perempuan boleh duduk bersimpuh, 'berkawat' ke sana ke mari sampai kaki lutut lenguh pun mereka tidak kisah. Sedar-sedar tidak terasa sengal dan kebas sana sini. Matahari pula sudah bertukar bulan dan bintang. Semata-mata asyik menguruskan 'majlis besar' mereka. Mungkin inilah yang dinamakan mengurus hal-hal rumahtangga sudah bermula sebelum berumahtangga lagi. Kaum perempuan bertukus lumus menunjukkan bakat ke arah ini.

Agenda biasa yang menjadi topik perancangan walimatul urus adalah meliputi membuat checklist wedding packages, persalinan costume, pelamin, pintu gerbang (arch), jurugambar, juruvideo, juruandam dan tempahan bersama inai tangan. Tugas-tugas di bawah khemah pula meliputi pelayan tetamu, katerer, telur pindang dan pasukan kompang. Ini belum lagi upacara penyeri majlis seperti persembahan silat, memotong kek, PA System berserta set karaoke dan khidmat DJ. Semua ini sudah tentu kerana mahu menampakkan grand.

Semestinya impian ini bakal menelan bajet yang besar. Akhirnya, pengantin dan keluarganya termenung sendirian menggaru kepala. Apa tidaknya, pesta berlalu, mereka juga terpaksa menanggung bebanan hutang keliling pinggang.

Saya tahu semua orang ingin merealisasikan majlis perkahwinan yang diimpikan. Tetapi kita perlu tahu batasan kemampuan yang ada. Dalam masa yang sama kita tetap boleh menganjurkan majlis yang meriah, walaupun dengan bajet yang sederhana. InsyaAllah tidak ada yang mustahil jika kita berusaha mengimpikan ke arah itu.
Saya akui, untuk berbicara tentang hal perkahwinan bukanlah bidang saya. Tiada kepakaran selayak wedding planner. Apatah lagi saya belum merasai 'pening kepala' menguruskan majlis sendiri. Mungkin sekadar menumpang serba sedikit majlis kakak dan adik saya. Itu pun tidak seberapa kerana saya selalunya sibuk dengan rutin kerja dan belajar. Orang tua dan sanak saudara di kampung yang lain lebih berpengalaman. Banyak cadangan mereka untuk itu dan ini.

Sewaktu kecil dulu saya kurang memikirkan tentang ini. Apa yang saya tahu adalah keseronokkan jika jiran tetangga atau sanak saudara di kampung akan mengadakan majlis perkahwinan. Dalam fikiran saya, akan terasa seperti kesibukkan suasana hendak menyambut hari raya. Dua tiga hari sebelum majlis berlangsung sudah kelihatan ramai yang turun berkumpul. Makan dan pakai segalanya meriah. Kami budak-budak kampung akan turut sibuk berpesta dengan aktiviti sendiri dari pagi hingga ke malam.
Tetapi setelah dewasa, saya mulai sedar akan kepentingan majlis kenduri kahwin dianjurkan adalah atas dasar sunat agama kita. Justeru, sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat kita hari ini, apabila ada perkahwinan diadakan majlis walimah dengan menjemput orang ramai menghadirinya.

Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah SAW melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun Alaih)

Tetapi dalam kondisi kita kebelakangan ini, kelihatan majlis perkahwinan sudah tidak menepati anjuran agama. Tetamu yang hadir seperti dipilih-pilih mengikut standard. Golongan miskin tidak layak menerima jemputan. Waima saudara mara atau kenalan kampung mereka juga kononnya lupa diundang. Sengaja ke lupa wallahu'alam...

Malah sesetengah majlis kenduri kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria. Diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja dan bercampur dengan unsur maksiat dan pakaian pula mendedah aurat. Semuanya menampakkan program kebaratan. Apakah ini bentuk walimatul urus dalam Islam? Saya merasakan majlis kenduri seperti ini ada cacat celanya.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang."

Sebagai umat Islam sepatutnya kita bersederhana mengadakan majlis. Ia bersesuaian dengan nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua perkara. Amalan sederhana yang dianjurkan bertujuan untuk mengelakkan pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan. Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat Al-Quran bermaksud:

“Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.” [Al-Isra' : 26]

Majlis kenduri boleh menjadi majlis yang diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam. Tetapi sebaliknya menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat. Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, kita perlulah menggunakan sumber rezeki yang halal. Wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram mahupun paksaan mana-mana pihak.

Ada juga yang telah mempersamakan angka dari ayat-ayat al-Quran. Mereka sanggup menjadikannya simbolik untuk meletakkan harga atau nilai hantaran serta mas kahwin. Malah jumlah hantaran juga. Tidakkah amalan ini mendekati bidaah? Kononnya menampakkan majlis lebih Islamic. Perkiraan yang lainnya pula kebaratan. Langsung diketepikan ciri-ciri Islam yang sewajarnya. Memalukan!

Sebenarnya, bukan kepentingan penggunaan angka-angka tertentu berkaitan dengan al-Quran. Sebaliknya isi kandungannya perlu dipelajari, dibaca dengan betul, difahami maknanya dan diamalkan dengan penuh keimanan. Manfaatnya bukanlah dengan mengambil angka-angka yang ada kaitan dengan al-Quran atau keratan-keratan ayat al-Quran dijadikan tangkal azimat.

Anak buah Mawi bantu menyiapkan kad kahwin

Kita perlu sedar majlis diadakan mestilah jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya. Walimatul urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu. Malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut anjuran agama.

Dalam melaksanakan majlis, kita juga perlu mengelakkan sesuatu upacara daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik. Sehinggakan ulama besar yang warak dulu tidak akan menghadiri majlis kenduri apabila ada bunyi gong atau gendang. Ini kerana mereka tidak mahu dilalaikan benda seperti itu.

Saya mengakui rezeki antara kita berbeza-beza. Limpahan banyak atau sedikit rezeki masing-masing ini bukanlah sesuatu untuk kita bermegah atau merendah diri. Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam. Mereka berhak menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan ukhuwwah.

Masyarakat kita juga perlu mengelak daripada menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya. Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Tetamu juga perlu ikhlas dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin terbabit, hulurkan ia dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.
Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa sedikit bahan makanan seperti gula, kelapa atau barangan dapur lain. Jangan pula kita memaksa atau memandang sinis kepada tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.

Renungilah kata-kata di bawah...

“Siapa yang hanya membuat rancangan adalah orang yang bermimpi, siapa yang hanya bekerja adalah hamba pekerjaan. Tetapi, sesiapa yang bekerja menurut rancangan itulah yang akan memperoleh kemenangan” [Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj]
Buat sahabat-sahabat saya yang bakal melangsungkan walimah anda, saya doakan majlis kalian dipermudahkan. Tidak perlu pening kepala sampai tidak tidur malam. Atur dan uruskan segala persiapan dengan tenang dan bijak.
InsyaAllah majlis kalian akan diredhai walaupun serba sederhana. Pada sahabat-sahabat yang saya telah terlepas peluang menghadiri majlis kalian, mohon berjuta kemaafan. Selalunya hati berkata mahu, kaki pula tidak seteru. Inilah makna ketentuan Ilahi mengatasi segala kemahuan duniawi. Wallahu'alam~

1 comment:

Ibnu Ali said...

1. Mendapat kemulian dr Islam dgn perkahwinan.

Diantara perkara yg menunujukkan Islam memuliakan manusia dgn perkahwinan ialah menjadikannya sebagai satu ibadah.Nabi bersabda:

(في بضع أحدكم أجر) Maksudnya: Hubungan kelamin yg dilakukan oleh sesorang kamu mendapat pahala. Para sahabat bertanya: "Adakah mendatangkan syahwat juga mendapat pahala? Lalu Nabi menjawab:

(نعم، أرأيتها لو وضعها في حرام أكان عليه وزر؟ كذلك لو وضعها في الحلال كان له أجر)

Maksudnya: Ya, Ape kata kamu kalau seorang tu melepaskan nafsunya pd yg haram(tentunya mendapat dosa)? Demikian juga sebaliknya apabila seseorng tu melepaskan pd yg halal, dia akn mendapat pahala.(HR Muslim)

Begitu juga Allah membantu kepada mereka yg ingin berkahwin. Nabi bersabda:

(ثلاثة حق على الله عونهم: -منها-الناكح الذي يريد العفاف)
Maksudnya: Tiga Golongan yg Allah pasti tolong mereka: -slh satunya- org yg bernikah kerana nak menjaga dr maksiat. (HR Tirmizi)

2.Mencari ketenangan dan kebahagian dlm perkahwinan.

Firman Allah s.w.t:

((ومن ءايته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة))
Maksudnya: Diantara tanda2 kekuasaannya menjadi pasanganmu dr kalanganmu sendiri supaya kamu cenderung hati pdnya dan Allah menjadikan kasih sayang dan cinta dikalangan pasangan suami isteri...(Al-Rom: 21)
Nabi bersabda:

((أربع من السعادة: -منها-المرأة الصالحة))
Maksudnya: Empat dr kebahagian: -diantara- Isteri yg solehah.(HR Ibnu Hibban)



3. Perkahwinan menyempurnakan Iman.

Nabi bersabda:

((من تزوج فقد استكمل نصف الإيمان، فليتق الله في النصف الباقي))

Maksudnya: Sesiapa yg berkahwin maka telah sempurna setengah imannya, maka bertakwalah untuk menyempurnakan setengah iman lagi. (HR Ibnu Majah)

4. Meletakkan syahwat ditempat yg halal.

Nabi bersabda:
((إذا رأى أحدكم امرأة حسنة وأعجبته، فليأت أهله))

Maksudnya: Apabila seseorng kamu melihat wanita yg cantik dn tertarik dgn wanita tersebut mk hendaklah dia setubuhi isterinya.(HR MUslim)

Ibnu Masud berkata berkata ketika beliau sakit taun: Kahwinilah aku..sesungguhnya aku benci berjumpa Allah dlm keadaan aku bujang.

5. Membina generasi yg gemilang.
(تناكحوا تكثروا، فإني أباهي بكم الأمم يوم القيامة)

Maksudnya: Hendaklah kamu berkahwin,dgn itu dpt memperbanyakkan zuriat, sesungguhnya aku berbangga dgn umat yg banyak pd hari kiamat..

Jangan kita kate gatal pd org yg nak kahwin tapi kita cela pd org yg nak buat maksiat..